Am 28/08/2026 12:26 AM

Malaysia Gesa Negara OIC Tolak Rancangan Penempatan Israel Bernilai USD2.3 Bilion

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Gesa Negara OIC Tolak Rancangan Penempatan Israel Bernilai USD2.3 Bilion
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri mesyuarat tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada Rhoma Ahmad Razali

JEDDAH, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia telah menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya menolak dan tidak memberikan sokongan terhadap rancangan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata negara-negara anggota OIC perlu mendukung  dengan tegas Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bertarikh 19 Julai 2024.

Beliau berkata tindakan Israel memperluas penempatan haram secara berterusan di wilayah Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur telah dirancang untuk menjejaskan secara kekal kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan penempatan haram rejim Israel yang bernilai USD2.3 bilion,” katanya dalam kenyataan negara pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar di sini hari ini.

Mohamad berkata rancangan itu, yang dikenali sebagai E1, ialah antara langkah untuk terus memperluas penempatan haram Israel dan meruntuhkan kesinambungan wilayah yang diperlukan bagi pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.

Beliau turut mengggesa negara-negara anggota OIC supaya mengambil pendirian tegas terhadap keganasan di Tebing Barat, pengusiran rakyat Palestin di Baitulmaqdis serta sebarang tindakan yang bertujuan mengubah identiti bandar itu termasuk tempat-tempat sucinya.

Menyentuh mengenai isu Gaza, Mohamad menggesa OIC terus mendesak masyarakat antarabangsa supaya menghentikan tindakan agresif Israel melalui gencatan senjata serta-merta dan berkekalan selain memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata meskipun hampir tiga tahun masyarakat antarabangsa menggesa agar orang awam dilindungi, akses kemanusiaan diberikan dan gencatan senjata berkekalan dilaksanakan, Israel terus bertindak mengebom kediaman, hospital serta sekolah selain menyekat bantuan kemanusiaan.

“Gaza kini musnah, dengan keluarga berpecah-belah dan lebih 70,000 nyawa tidak berdosa diragut secara tragis,” katanya sambil menyifatkan situasi itu sebagai krisis moral yang amat serius dan menguji kredibiliti tatanan antarabangsa.

Mohamad juga menggesa sokongan lebih padu daripada negara-negara anggota OIC untuk melindungi, membangunkan semula dan memperkukuh institusi Palestin sebagai sebahagian daripada usaha meletakkan asas bagi penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaya maju.

Beliau berkata penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya pendekatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berdaya maju ke arah mencapai keamanan berkekalan.

“Matlamat kita kekal konsisten... kita perlu menamatkan pendudukan, membolehkan Palestin mentadbir negaranya sendiri dan merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin,” katanya.

Mohamad turut mengulangi sokongan padu Malaysia terhadap penubuhan Negara Palestin yang benar-benar merdeka, berdaulat, berdaya maju dan mempunyai kesinambungan wilayah, berdasarkan sempadan pada 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

“Ini bukan sekadar pilihan diplomatik, sebaliknya adalah satu keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, Mohamad mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menteri Israel, penduduk penempatan haram dan pemimpin puak berhaluan kanan ekstrem yang menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa pada 23 Julai lepas, serta menyifatkan provokasi sedemikian tidak boleh diterima.

Beliau turut menggesa negara-negara anggota OIC supaya memelihara kesucian Al-Quds As-Sharif (Baitulmaqdis) dan memberikan sokongan penuh terhadap Hak Penjagaan Hashemite yang bersejarah ke atas tempat-tempat suci di Baitulmaqdis.

Mohamad juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan melindungi mandat Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) susulan pengambilahan secara haram Pusat Latihan Kalandia serta penerimaan undang-undang hukuman mati mandatori yang menyasarkan rakyat Palestin.

Beliau berkata OIC perlu kekal teguh dalam memperjuangkan tatanan antarabangsa berasaskan peraturan dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas segala tindakan rejim berkenaan.

-- BERNAMA