Dunia 28/08/2026 12:21 AM

Banjir Nepal: Jumlah Warga Asing Yang Hilang, Angka Korban Terus Meningkat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Banjir Nepal: Jumlah Warga Asing Yang Hilang, Angka Korban Terus Meningkat
Foto: REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Angka korban dan jumlah individu yang hilang, termasuk pelancong asing, terus meningkat pada hari kedua susulan banjir yang membawa kemusnahan besar di Nepal, dengan talian komunikasi dilaporkan masih terganggu.

Media tempatan Kathmandu Post yang memetik polis melaporkan angka korban akibat bencana pada Rabu itu meningkat kepada 359 orang setakat 5 petang waktu tempatan Khamis.

Anadolu Ajansi melaporkan hampir 900 pelancong asing masih hilang pada Khamis di Nepal dan wilayah Tibet, China.

Menurut Lembaga Pelancongan Nepal, seramai 644 pelancong asing dan tempatan dilaporkan hilang di bahagian sempadan Nepal.

Mereka termasuk 178 dari India, 65 dari Amerika Syarikat, 53 dari Ukraine, 35 dari Australia, 33 dari United Kingdom, 25 dari Kanada, sembilan dari Singapura dan lapan dari Jerman.

Lembaga itu menyenaraikan 51 rakyat Malaysia sebagai hilang, namun Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan 55 warganegara Malaysia ketika ini tidak dapat dihubungi berdasarkan maklumat yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber lain yang berkaitan.

Pelancong lain yang hilang berasal dari Perancis, Hungary, Switzerland, Itali, Ireland, Israel, Jepun, Kazakhstan, Portugal, Rusia dan negara lain.

Wisma Putra dalam pemakluman media pada Khamis memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia dan sedang giat mendapatkan pengesahan segera daripada pihak berkuasa Nepal melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu susulan laporan tidak sahih yang tersebar di media sosial.

Kementerian Luar menggesa orang awam untuk tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak sahih dan memohon pengamal media supaya tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan sedemikian bagi mengelakkan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga yang terlibat.

Kementerian itu memaklumkan Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi sejak 12 tengah hari Khamis bagi menyelaraskan maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung untuk warganegara Malaysia di kawasan yang terjejas serta ahli keluarga mereka.

Sementara itu, Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur memaklumkan kerajaan Nepal memberi keutamaan tinggi kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR), bantuan serta tindak balas kecemasan di kawasan terjejas akibat banjir yang membawa kemusnahan besar itu.

“Pihak berkuasa berkaitan dan agensi keselamatan meneruskan usaha mengesan dan menyelamatkan mereka yang terjejas, memberikan bantuan segera serta menilai keseluruhan angka korban dan tahap kerosakan fizikal,” menurut kedutaan itu dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Khamis.

Kedutaan itu turut memaklumkan Pejabat Perdana Menteri dan Majlis Menteri-Menteri telah merayu kepada individu, organisasi, perniagaan dan dermawan supaya menghulurkan bantuan kewangan bagi menyokong pemindahan penduduk terjejas ke tempat selamat serta usaha memulihkan dan membina semula kehidupan mereka dalam jangka panjang.

Kerajaan Nepal turut mengisytiharkan Rasuwa, Nuwakot dan Dhading sebagai “kawasan krisis bencana” selama tiga bulan.

-- BERNAMA