Am 27/08/2026 11:52 PM

Dua Maut SUV Terbabas Selepas "Patah Balik" Elak Pemeriksaan Polis 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Maut SUV Terbabas Selepas
kredit: IPD Gua Musang

GUA MUSANG, 27 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki maut dalam nahas jalan raya selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah lagi kenderaan sebelum merempuh tiang lampu di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Bukit Lanjut, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 10.24 pagi tadi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketika anggota polis menjalankan pemeriksaan kenderaan (snap check) di Kilometer 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, mereka mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan itu berpatah balik menghala ke Bandar Gua Musang.

“Anggota polis kemudian mengekori kenderaan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan. Setibanya di lokasi kejadian, Proton X70 itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian sisi belakang sebuah Toyota Hilux, sebelum terbabas ke bahu jalan serta merempuh sebuah tiang lampu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata akibat kemalangan itu, seorang maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, dan mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat.

Beliau berkata beberapa lagi individu yang berada dalam Proton X70 mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu dan anggota yang berada dalam kenderaan polis, serta pemandu Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua individu yang terlibat serta mendapatkan gambaran lengkap mengenai kejadian,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

-- BERNAMA