ALOR SETAR, 26 Ogos (Bernama) -- Lebih 1,200 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Parlimen Kuala Kedah mendapat manfaat tuisyen dalam talian secara percuma sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu November ini.
Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden PKR Datuk Romli Ishak berkata pogram berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Sahabat MADANI Parlimen Kuala Kedah dengan sebuah syarikat swasta.
"Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada semua pelajar untuk mendapatkan akses pembelajaran berkualiti tanpa perlu menanggung kos tuisyen yang tinggi.
"Kalau di luar, kosnya mahal dan boleh mencecah lebih RM2,000 setahun untuk seseorang pelajar mengikuti tuisyen dalam talian. Jadi, kita mahu pelajar menggunakan peluang ini sebaik mungkin, terutama kerana SPM semakin hampir," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kelebihan platform dalam talian ialah pelajar boleh mengikuti pembelajaran dari rumah pada bila-bila masa, sekali gus membantu keluarga yang berdepan kekangan kewangan atau tinggal jauh dari pusat tuisyen.
Romli berkata pelajar hanya memerlukan sambungan Internet yang baik untuk mengakses kelas tanpa perlu keluar rumah atau mengeluarkan kos tambahan untuk perjalanan.
"Ini juga soal pembangunan modal insan. Kita mahu rakyat Kedah membangun dengan ilmu kerana pendidikan merupakan elemen penting dalam mencorak kejayaan dari aspek ekonomi dan sosial.
"Masih ada kira-kira tiga bulan untuk mereka membuat pecutan terakhir dan meningkatkan penguasaan dalam setiap subjek," katanya.
Menurutnya, program itu turut menawarkan pembelajaran secara interaktif kerana pelajar boleh berkomunikasi dengan guru dan boleh terus mengemukakan pertanyaan jika tidak memahami sesuatu topik atau soalan.
Katanya, setiap soalan dikemukakan pelajar akan dijawab guru terbabit, manakala bahan pembelajaran boleh diakses pada bila-bila masa mengikut kesesuaian pelajar.
"Ini bukan sekadar menonton kelas, tetapi pelajar boleh berinteraksi dengan guru. Kalau tidak faham sesuatu subjek, mereka boleh mendapatkan penjelasan dan mengulang kaji semula pada bila-bila masa," katanya.
-- BERNAMA