GEORGE TOWN, 26 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) memberi jaminan terhadap keselamatan dan kebajikan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi mangsa gangguan siber melalui aplikasi WhatsApp di sini.
Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata pihaknya turut mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi identiti pelajar perempuan berusia 17 tahun itu serta memastikan kejadian berkenaan tidak menjejaskan persiapannya menghadapi peperiksaan SPM.
"Keadaan kini semakin reda dan pihak sekolah akan memastikan pelajar itu dapat hadir ke sekolah tanpa sebarang gangguan, selain mendapat sokongan serta bimbingan yang diperlukan.
“Kita ingin memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah mengambil langkah untuk memastikan kebajikan pelajar berkenaan terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan menghadapi jerebu di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor di sini hari ini.
Beliau berkata kes itu juga telah dilaporkan kepada polis dan siasatan kini dijalankan di sekolah serta beberapa lokasi berkaitan.
Mohamad Dziauddin berkata pihak sekolah turut menasihatkan pelajar berkenaan mendapatkan bimbingan dan kaunseling bagi membantunya mengurus emosi, selain memberi tumpuan terhadap persediaan menghadapi SPM.
Beliau berkata JPNPP akan terus memantau perkembangan kes berkenaan serta bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa.
Pada 5 Ogos lepas, seorang wanita berusia 46 tahun mendakwa anak keduanya, yang merupakan calon SPM, mengalami tekanan emosi selepas wajah, nama, kelas dan nombor telefonnya didakwa disebarkan menerusi poster berunsur lucah serta akaun media sosial palsu sejak April lepas.
-- BERNAMA