Oleh Norhidayyu Zainal
KUANTAN, 26 Ogos (Bernama) -- Dari jauh, pantai Balok dengan hamparan pasir memutih berserta deruan ombak diiringi bayu laut, menjanjikan satu keindahan yang mendamaikan jiwa pengunjung.
Namun keindahan itu akan tinggal sebagai ilusi sekiranya isu sampah seperti botol plastik dan bekas makanan ditinggalkan pengunjung serta sisa yang dihanyutkan ombak tidak ditangani dan terus menjadi ancaman kepada ekosistem pantai.
Menyedari khazanah alam itu menuntut pemeliharaan secara berterusan, OSK Group melancarkan program OSK Beach Combing (COMB-AT), inisiatif pemuliharaan pantai Balok dengan slogan “Comb the Coast, Combat the Waste” sebagai sebahagian daripada OSK Group Sustainability Signature Project 2026.
Pengarah Eksekutif OSK Group Datuk Saiful Bahri Zainuddin berkata COMB-AT membawa konsep “beachcombing with a purpose”, iaitu peserta bukan sahaja mengutip sampah, tetapi turut mengenal pasti, mengasingkan dan merekodkan jenis serta jumlah sisa yang dikumpulkan.
“Sebagai kumpulan syarikat yang mempunyai kepentingan dalam sektor hartanah dan hospitaliti, kami memahami persekitaran yang bersih, terpelihara dan menarik merupakan sebahagian daripada pengalaman yang ingin kami tawarkan kepada masyarakat dan pengunjung,” katanya ketika berucap pada pelancaran program yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot, di sini baru-baru ini.
Inisiatif itu dianjurkan oleh OSK Group dengan sokongan OSK Capital dan Swiss-Grand Beach Resort Kuantan serta kerjasama MOTAC, Tourism Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan, manakala Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bertindak sebagai rakan teknikal.
Program itu melibatkan kira-kira 110 peserta yang terdiri daripada warga kerja OSK Group, komuniti setempat dan sukarelawan termasuk 40 pelajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kuantan.
Saiful Bahri berkata program itu akan berjalan selama setahun.
Sementara itu, Shaharuddin ketika berucap pada program tersebut berkata pengumpulan data berkaitan jenis dan jumlah sisa marin menerusi COMB-AT dapat dijadikan asas kepada perancangan tindakan yang lebih tepat pada masa depan.
“Apabila kita memahami puncanya, kita dapat merangka penyelesaian yang lebih baik bukan sahaja untuk membersihkan pantai hari ini, tetapi juga memastikan pantai kita terus terpelihara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata pantai merupakan aset semula jadi yang penting kepada sektor pelancongan negara dan pemeliharaannya memerlukan kerjasama kerajaan, sektor swasta, pihak berkuasa tempatan serta komuniti.
Bagi pensyarah ADTEC JTM Kampus Kuantan Zuriati Osmancyang mengiringi 40 pelajarnya, beliau melihat aktiviti gotong-royong itu sebagai satu pengalaman menjaga alam sekitar secara langsung di luar bilik kuliah.
“Program seperti ini perlu diteruskan secara berkala bersama-sama dengan penduduk setempat,” katanya.
Seorang daripada pelajar ADTEC JTM, Muhamad Nafiz Muqrie, 18, berkata dia menyertai program itu buat kali pertama dan secara sukarela kerana mahu membantu membersihkan pantai yang menjadi tumpuan ramai.
“Ramai datang membawa makanan dan plastik tetapi ada yang tidak membuangnya di tempat yang betul. Saya berharap pengunjung lebih bertanggungjawab kerana ini pantai kita dan kita sendiri yang perlu menjaganya,” katanya.
-- BERNAMA