Am 24/08/2026 04:14 PM

Piala Tengku Puteri Jihan Beri Ruang Pelajar Serlah Bakat Tenunan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Piala Tengku Puteri Jihan Beri Ruang Pelajar Serlah Bakat Tenunan
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pada sidang media mengenai penganjuran Temasya Warisan Pahang 2026 di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Piala Tengku Puteri Jihan bakal diperkenalkan khusus bagi peserta dalam kalangan pelajar sebagai satu inisiatif baharu bagi memberikan ruang kepada golongan muda, khususnya pelajar mengetengahkan kreativiti serta kemahiran dalam seni tenunan.

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah kategori berkenaan diwujudkan bagi mengiktiraf penyertaan pelajar daripada Institut Kraf Negara (IKN) dan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang menyertai Pertandingan Tenun Pahang Diraja.

"Pada tahun ini kita menerima banyak penyertaan daripada penuntut IKN dan IKTPD yang memasuki pertandingan. Saya rasa tidak wajarlah mereka disamakan dengan penenun yang sudah lebih handal kerana mereka masih dalam proses belajar," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada sidang media Temasya Warisan Pahang 2026 di Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Pemenang Piala Tengku Puteri Jihan akan menerima RM10,000 bagi tempat pertama, RM7,500 (kedua), RM5,000 (ketiga) serta dua hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM1,500.

KUANTAN, 24 Ogos (Bernama) -- Piala Tengku Puteri Jihan bakal diperkenalkan khusus bagi peserta dalam kalangan pelajar sebagai satu inisiatif baharu bagi memberikan ruang kepada golongan muda, khususnya pelajar mengetengahkan kreativiti serta kemahiran dalam seni tenunan.

Tunku Azizah bertitah piala khas itu dinamakan bersempena dengan nama Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah sebagai penghargaan terhadap bakat dan sumbangannya, selain menyemarakkan minat golongan muda terhadap seni dan warisan negara.

Baginda turut memaklumkan Penyampaian Hadiah Piala Tunku Azizah sempena Pertandingan Tenun Pahang Diraja akan berlangsung pada 5 Sept ini, pada 8 malam dengan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM151,000 berserta piala dan sijil penyertaan bagi setiap pemenang.

"Hadiah yang ditawarkan ialah wang tunai berjumlah RM151,000 berserta piala dan sijil penyertaan bagi setiap pemenang. Tempat pertama sebanyak RM30,000; kedua RM20,000; ketiga RM10,000, lima hadiah sagu hati RM5,000, enam hadiah Queen's Choice RM5,000 dan 12 hadiah penghargaan RM3,000," titah baginda.

Temasya Warisan Pahang 2026 bakal menampilkan pelbagai program selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 7 Sept depan, dari 10 pagi hingga 11 malam, bertempat di MOCA, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah dan Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 di sini.

Tunku Azizah bertitah penganjuran temasya itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah warisan selain memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada generasi muda.

"Pengisian aktiviti seperti pameran dan jualan, bengkel dan demonstrasi kraf, masakan tradisional dan warisan daripada semua 11 daerah di Pahang.  Tahun ini kita ada penyertaan dari seluruh benua Afrika dan juga Jepun untuk bersama-sama kita bagi menunjukkan hasil kraf, warisan dan segala yang mereka ada," titah baginda.

"Sementara itu, bengkel penghasilan produk kraf yang membabitkan usahawan Kraftangan Malaysia adalah seperti bengkel ukiran kayu, tenun, batik, logam, seramik, anyaman rotan, telepuk dan mengkuang," titah baginda.

Baginda bertitah Jabatan Penjara Malaysia turut membawakan produk yang dihasilkan di sebalik tirai besi untuk dijual, antaranya makanan sejuk beku, Tenun Pahang Diraja, songket dan batik.

Selain demonstrasi pembuatan produk kraf dan masakan warisan dari semua daerah di Pahang, Tengku Ampuan Pahang turut akan memasak sendiri bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai masakan berasaskan resipi turun-temurun masyarakat dahulu serta resipi istana.

"Kita ada Pasar Sera, persembahan wayang pacak dan pelbagai aktiviti lain yang akan berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 Sept. Kemuncaknya ialah pada 5 Sept apabila pemenang Piala Tunku Azizah akan diumumkan," titah baginda.

-- BERNAMA