Dunia 24/08/2026 02:33 PM

Gempa Kumamoto: Warga Asing Berdepan Kekangan Maklumat Bencana

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Gempa Kumamoto: Warga Asing Berdepan Kekangan Maklumat Bencana
-- Foto Kredit Kyodo

KUMAMOTO (Jepun), 24 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Ramai warga asing di Wilayah Kumamoto dipercayai berdepan kesukaran mendapatkan maklumat bencana selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud bulan lepas ekoran kekurangan perkhidmatan khusus untuk penduduk bukan warga Jepun, menurut tinjauan Kyodo News pada Ahad.

Walaupun statistik kerajaan menunjukkan kira-kira 31,000 warga asing menetap di wilayah barat daya Jepun itu setakat 1 Jan, hanya tiga daripada 19 pihak berkuasa tempatan yang ditinjau menyediakan perkhidmatan sedemikian.

Tinjauan itu menunjukkan keperluan untuk kerajaan tempatan memperluas sokongan kepada golongan yang lebih terdedah ketika bencana, khususnya mereka yang berdepan halangan bahasa.

Kerajaan Bandar Kumamoto sebelum ini memperkenalkan perkhidmatan e-mel kecemasan untuk warga asing berdasarkan pengalaman daripada gempa besar yang melanda wilayah itu 10 tahun lalu, apabila ramai warga asing tidak menerima bantuan yang diperlukan.

Sejak gempa berukuran 7.1 melanda wilayah itu pada 28 Julai, pihak berkuasa bandar berkenaan mengeluarkan sijil kerosakan akibat bencana kepada kira-kira 680 orang yang berdaftar dalam sistem itu.

Pihak berkuasa turut membuka pusat perlindungan untuk warga asing di Pusat Antarabangsa Bandar Kumamoto yang menempatkan kira-kira 20 orang.

Kikuyo, bandar yang menempatkan kilang Taiwan Semiconductor Manufacturing Co. pula membuka akaun media sosial pada Disember lalu bagi menyalurkan maklumat dalam bahasa Jepun yang mudah difahami, susulan maklum balas daripada penduduk asing yang semakin bertambah.

Yatsushiro turut menyediakan laman sesawang yang memuatkan maklumat mengenai pusat pemindahan dan bekalan, manakala mereka yang berdaftar dengan aplikasi pesanan Line boleh menerima maklumat berkaitan.

Bagaimanapun, Uki dan Hikawa yang paling teruk terjejas masih belum menyediakan perkhidmatan maklumat bencana khusus untuk warga asing.

Malah di tiga kawasan yang sudah menyediakan perkhidmatan mesra warga asing, halangan bahasa masih menjadi cabaran utama dalam penyampaian maklumat.

-- BERNAMA-KYODO