Am 24/08/2026 02:20 PM

Kembar Seiras Rangkul Anugerah Berprestij Kejuruteraan 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kembar Seiras Rangkul Anugerah Berprestij Kejuruteraan 
Pasangan kembar Irene Lock Sow Mei, penerima Special Mention International Engineering Award (SMIEA) 2026, dan Dr Serene Lock Sow Mun, penerima Tokoh Muda Kejuruteraan Negara 2026, selepas menerima anugerah pada Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2026 di sebuah hotel

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Belajar di dalam kelas yang sama sejak sekolah rendah, pasangan kembar seiras Dr Serene Lock Sow Mun dan Irene Lock Sow Mei, 36, terus melangkah seiring meraih kejayaan apabila kedua-duanya diiktiraf antara jurutera terbaik negara pada Majlis Anugerah Kejuruteraan dan Penghargaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) 2026, malam tadi. 

Sow Mun yang merupakan Profesor Madya di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) diumumkan sebagai wanita pertama merangkul Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Negara, manakala Sow Mei, Jurutera Proses Kanan di PETRONAS, menerima Special Mention International Engineering Award (SMIEA) 2026.

Anak kepada pasangan pensyarah kejururawatan yang berasal dari Ipoh, Perak itu berkata minat mereka terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berkembang sejak mereka belajar pada peringkat sekolah rendah.

Meskipun terpisah seketika apabila Sow Mun melanjutkan pengajian ke University of Toronto di Kanada, manakala Sow Mei di UTP, kedua-duanya kekal memilih cabang kejuruteraan kimia demi matlamat kelestarian masa depan.

“Saya rasa amat berbesar hati dan bersyukur sebab mendapat anugerah ini sekali dengan saudara kembar saya. Anugerah ini membuatkan saya lebih bersemangat serta mendorong saya untuk menyumbang kepada dunia kejuruteraan,” kata Sow Mei kepada Bernama.

Bagi Sow Mei, kepuasan kerjaya dalam dunia kejuruteraan terletak pada keupayaan menyelesaikan cabaran harian yang dinamik serta menterjemahkan hasil penyelidikan demi kesejahteraan negara.

"Kejuruteraan sebenarnya ialah dunia yang sangat mencabar, bukan dunia yang membosankan. Apa sahaja yang anda lihat (dan usahakan), hasil kerja itu sebenarnya menyumbang ke arah kebaikan Malaysia,” katanya.

Sow Mun pula berharap pencapaian beliau sebagai penerima wanita pertama anugerah tokoh muda berkenaan mampu menjadi sumber inspirasi bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan golongan wanita dalam industri tersebut.

"Saya harap kejayaan ini akan menjadi inspirasi serta pendorong motivasi kepada lebih ramai bakat wanita untuk menyertai industri STEM dan menunjukkan peranan dan kepimpinan kita," katanya.

-- BERNAMA