ISTANBUL, 24 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent pada Ahad berkata Washington kini memasuki fasa “economic D-Day” terhadap Iran, selepas apa yang disifatkannya sebagai kejayaan pentadbiran Presiden Donald Trump melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan nuklear negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Presiden Trump telah melumpuhkan keupayaan ketenteraan Iran, memusnahkan hampir 100 peratus kemudahan pengeluaran ketenteraannya dan menguburkan program nuklearnya.
“Kita kini memasuki fasa penamat. Menjelang fajar, bermulalah "economic D-Day" — serangan kewangan terbesar yang pernah digerakkan terhadap mana-mana pihak lawan,” kata Bessent dalam hantaran di platform media sosial X.
Beliau berkata pentadbiran AS berhasrat menggunakan segala sumber yang ada untuk terus mengasingkan Iran dari segi ekonomi serta memutuskan sumber sokongan kepada kerajaan negara itu.
“Presiden telah mewujudkan keadaan yang membolehkan setiap agensi, bidang kuasa dan tindakan digunakan, termasuk langkah yang sebelum ini dianggap tidak mungkin diambil.
"Matlamat kami adalah memutuskan setiap talian hayat ekonomi yang menyokong rejim itu sehingga Tehran benar-benar terasing,” kata Bessent.
Beliau turut memberi amaran kepada kerajaan dan pihak lain supaya tidak menganggap Washington keberatan mengenakan tindakan terhadap mereka yang mencabar dasar AS terhadap Iran.
“Republik Islam itu terus bertahan dengan menyamarkan pemerasan sebagai jaminan keselamatan.
"Ia memperoleh kekuatan daripada anggapan bahawa tindak balas Iran pasti berlaku, manakala tindakan penguatkuasaan AS masih boleh dirunding.
“Di bawah Presiden Trump, era itu sudah berakhir. Mereka yang bimbang terhadap risiko menentang Tehran juga tidak seharusnya memandang ringan akibat mencabar Washington,” katanya.
Bessent bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai langkah ekonomi khusus atau agensi yang akan terlibat dalam tindakan yang dirancang itu.
-- BERNAMA-ANADOLU