Am 24/08/2026 10:19 AM

Alam Flora Laksana Program Perintis EV, Teknologi AI Dalam Pembersihan 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Alam Flora Laksana Program Perintis EV, Teknologi AI Dalam Pembersihan 
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Shariman Yusuf Mohamed Zain

PUTRAJAYA, 24 Ogos (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, melaksanakan pemodenan operasi pengurusan sisa dan pembersihan menerusi penggunaan kenderaan elektrik (EV), teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta peralatan berjentera dalam usaha meningkatkan kecekapan operasi selain menyokong agenda kelestarian negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata penggunaan kenderaan EV dan peralatan pembersihan elektrik adalah sebahagian daripada strategi mekanisasi dan pemodenan syarikat yang lebih menyeluruh, bertujuan meningkatkan produktiviti, kualiti perkhidmatan serta kecekapan operasi.

Beliau berkata buat masa ini penggunaan teknologi berkenaan dilaksanakan di bawah program bukti konsep (POC) bagi menilai kesesuaian, kebolehpercayaan, keperluan penyelenggaraan, kos operasi dan prestasinya dalam keadaan operasi sebenar sebelum penggunaannya diperluas. 

“Inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan EV dan peralatan pembersihan elektrik, malah ia juga usaha memodenkan kaedah perkhidmatan penting menerusi teknologi. 

“Pada masa sama, berpeluang memperoleh pengalaman operasi secara praktikal melalui program pembuktian konsep yang sedang dijalankan bagi mengemudi penggunaan teknologi pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Shariman Yusuf berkata inisiatif itu turut menyokong perkhidmatan pembersihan yang lebih senyap, bersih dan mampan, selain membolehkan syarikat terus menggunakan kedua-dua kenderaan EV dan konvensional bagi mengenal pasti model operasi jangka panjang yang paling sesuai.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan aspirasi kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan agenda ekonomi kitaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang menekankan bandar rendah karbon serta pengurusan sisa mampan.

Shariman Yusuf berkata syarikat memutuskan untuk memperkenalkan teknologi berkenaan hanya selepas teknologi bateri EV mencapai tahap kematangan yang secukupnya, dan susulan kejayaan penggunaannya di beberapa negara, termasuk Singapura dan China.

“Kami enggan menjadi “mangsa uji kaji”. Kami mahu memastikan teknologi ini benar-benar terbukti keberkesanannya sebelum diperkenalkan dalam operasi kami,” katanya.

Alam Flora telah memperkenalkan pelbagai aset EV, termasuk dua unit pemadat sampah 19 tan, sebuah kenderaan pencuci jalan raya EV, sebuah penyapu jalan raya bersaiz sederhana, empat penyapu jalan raya mini, empat kenderaan mini penyelenggaraan jalan raya, 182 motosikal, 56 kenderaan roda tiga, 20 mesin peniup, empat unit vakum dan dua mesin glutton.

Shariman Yusuf berkata syarikat turut menggunakan teknologi Perakam Video Digital Mudah Alih (MDVR) berasaskan AI, yang mampu meningkatkan keselamatan pemandu dengan memberikan amaran potensi bahaya serta mengenal pasti tong sampah yang rosak semasa perkhidmatan kutipan.

“Sistem AI itu dapat membantu meningkatkan keselamatan dan mengurangkan keperluan pemeriksaan secara manual dengan mengesan tong sampah yang rosak serta aspek operasi lain,” katanya.

Beliau berkata program POC yang akan dilaksanakan antara tiga hingga enam bulan itu akan menilai petunjuk operasi utama, termasuk jarak perjalanan, kapasiti muatan, tempoh pengecasan, kos operasi serta keupayaan kenderaan memenuhi tahap perkhidmatan yang ditetapkan syarikat.

“Kami perlu memastikan EV mampu beroperasi pada tahap yang sama seperti kenderaan konvensional sebelum memperluas penggunaannya,” katanya sambil menambah setiap kenderaan kutipan sampah EV dijangka mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 77 peratus berbanding  kenderaan jenis yang sama yang menggunakan diesel, berdasarkan penilaian operasi dalaman syarikat.

Beliau berkata kenderaan pemadat diesel konvensional menghasilkan kira-kira 232 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun, berbanding 53.6 tCO₂e bagi unit EV, sekali gus mewakili pengurangan tahunan sebanyak 178.4 tCO₂e berdasarkan perbandingan satu dengan satu.

Namun, beliau berkata kos kenderaan elektrik (EV) ketika ini adalah 60 hingga 100 peratus lebih tinggi berbanding kenderaan pemadat sampah konvensional.

Bagaimanapun, kos bahan api dan penyelenggaraan yang lebih rendah dijangka mengimbangi kos pelaburan awal yang tinggi sepanjang tempoh penggunaan kenderaan berkenaan.

Selain itu, perubahan dan penambahbaikan infrastruktur juga penting bagi menyokong penggunaan EV.

Shariman Yusuf, yang menyertai Alam Flora pada Dis 2024, berkata syarikat merancang memperluas penggunaan EV secara berperingkat, namun menjangkakan akan mengekalkan kenderaan hibrid, dan penggunaan pada masa akan datang bergantung kepada hasil program perintis serta perkembangan teknologi.

“Kami akan terus memanfaatkan hasil dan pengalaman daripada program percubaan itu sebagai panduan dalam merancang penggunaan kenderaan pada masa depan serta memilih teknologi yang sesuai.

“Matlamat jangka panjang adalah untuk mewujudkan kumpulan kenderaan yang lebih cekap, mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa akan datang, tanpa menjejaskan kebolehpercayaan perkhidmatan,” katanya.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen Alam Flora terhadap aspirasinya, "Enhancing Life, Enriching Communities", menerusi penyediaan perkhidmatan pembersihan yang inovatif dan mampan bagi meningkatkan kualiti alam sekitar, menyokong kesejahteraan komuniti serta menyumbang kepada bandar yang lebih berdaya tahan dan lestari.

-- BERNAMA