ISTANBUL, 24 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Bola yang digunakan Diego Maradona ketika menjaringkan gol ikonik “Hand of God” dan satu lagi jaringan solo yang menakjubkan ketika Argentina menentang England pada Piala Dunia FIFA 1986 dijual pada harga US$3.35 juta dalam satu lelongan, menurut Anadolu Ajansi yang memetik Heritage Auctions.
Bola Adidas Azteca itu digunakan ketika Argentina menewaskan England 2-1 pada aksi suku akhir, yang menyaksikan Maradona menjaringkan dua gol paling dikenang dalam sejarah Piala Dunia.
Pusat lelongan berpangkalan di Dallas itu menjual bola berkenaan pada harga US$3.35 juta pada Sabtu selepas pakar memadankannya dengan gambar yang dirakam ketika perlawanan berkenaan.
Harga akhir itu bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding anggaran sebelum lelongan sekurang-kurangnya US$10 juta.
Sebelum lelongan, Heritage menyifatkan bola itu sebagai antara yang paling terkenal dalam dunia sukan dan berkata ia berpotensi menjadi barangan bola sepak paling bernilai pernah dijual.
Gol pertama Maradona ketika menentang England kemudian dikenali sebagai “Hand of God” selepas beliau menggunakan tangan kiri untuk menolak bola melepasi penjaga gol Peter Shilton, namun jaringan itu tetap disahkan pegawai perlawanan.
Empat minit kemudian, kapten Argentina itu menguasai bola di kawasan sendiri sebelum menggelecek melepasi lima pemain England dan menjaringkan gol yang kemudiannya dipilih sebagai “Gol Abad Ini” Piala Dunia FIFA.
Bola berkenaan disimpan selama 36 tahun oleh pengadil Tunisia Ali Bin Nasser yang mengadili perlawanan itu, sebelum dijual pada harga £2 juta (US$2.37 juta) dalam satu lelongan di London pada 2022.
Jersi yang dipakai Maradona dalam perlawanan sama pula dijual pada harga hampir US$9.3 juta oleh Sotheby’s pada tahun berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU