KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Polis telah merakamkan keterangan 92 saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Setapak, di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan laporan polis kedua yang dibuat oleh ibu pelajar itu, sehari selepas kejadian terbabit.
"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Baldev Singh Gurdial Singh melalui talian 03-9289 9222 atau 012-480 6062 bagi membantu siasatan.
Selain itu, maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA