KAJANG, 22 Ogos (Bernama) -- Tiga pemanah muda Johor mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan Kedah untuk meraih emas acara recurve berpasukan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Lebih manis, kejayaan Nurin Iman Mohamed Sham, 18, bersama Nawal Buthainah Daing Muhamad Azmi, 16, dan Nur Ayra Mahirah Rosihan Anwar, 16, hadir ketika mereka langsung tidak diletakkan sasaran untuk meraih sebarang pingat.
Beraksi di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN), di sini trio Johor yang sebelum itu mengejutkan Perlis di separuh akhir mempamerkan panahan bergaya bagi menundukkan Kedah 6-2 dalam aksi final, sekali gus menghadiahkan emas pertama buat kem memanah Johor pada temasya kali ini.
Nurin Iman, 18, berkata kejayaan itu cukup bermakna kerana mereka sendiri tidak menyangka mampu mara hingga ke final, apatah lagi menewaskan Kedah yang hadir dengan status juara bertahan.
“Memang kami tidak pernah menjangka dapat merangkul emas. Sebelum itu, di separuh akhir, kami bertemu Perlis yang sangat hebat dan ketika itu kami tidak percaya dapat mengalahkan mereka.
“Selepas berjaya ke final dan menang emas, saya rasa sangat gembira sampai mahu menangis,” katanya selepas aksi final.
Katanya, kemenangan itu turut memberikan kepuasan berganda dapat menghadiahkan emas sulung untuk sukan memanah Johor pada temasya kali ini.
“Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana terus memberi semangat dan mendorong kami berjuang sampai akhir,” katanya dalam nada sebak.
Nurin Iman berkata usia bukan penghalang untuk melakar kejayaan dalam sukan memanah kerana faktor utama yang akan menjadi penentu adalah keyakinan dan keupayaan mengawal teknik.
Dalam aksi final itu, Kedah yang dibarisi Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini, Nur Auni Aqilah Andri dan Nur Auni Firdina Wafiqah Noor bermula baik apabila memenangi end pertama, namun gagal mengekalkan momentum sehingga Johor bangkit memenangi tiga end berikutnya.
-- BERNAMA