Am 22/08/2026 07:45 PM

Bomba Guna Kaedah Bom Air Padam Kebakaran Hutan Samunsan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bomba Guna Kaedah Bom Air Padam Kebakaran Hutan Samunsan
Kredit: JBPM Sarawak

KUCHING, 22 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak hari ini melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah pengeboman air bagi membantu memadam kebakaran di Hutan Simpan Samunsan, Lundu yang memasuki hari ketiga.

JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu melibatkan helikopter Unit Udara Bomba dari Miri. 

"Operasi pengeboman air dijalankan pada hari ketiga bagi membantu memadam kebakaran di kawasan yang sukar diakses melalui laluan darat," menurut kenyataan itu. 

Sebelum ini, pihak JBPM menerima laporan bahawa kira-kira dua hektar kawasan hutan simpan terbabit terbakar berdasarkan pemantauan menggunakan dron milik Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Bagaimanapun, pasukan bomba menghadapi kekangan dalam operasi pemadaman api di kawasan itu antaranya laluan masuk ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan besar, selain ketiadaan sumber air dan keadaan kawasan yang berbukit.

Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan turut dibantu oleh sembilan pegawai SFC, masing-masing tiga daripada Jabatan Alam Sekitar serta Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar. 

JBPM Sarawak memaklumkan maklumat berhubung operasi pemadaman dan pemantauan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, JBPM berjaya memadam kebakaran kira-kira 1.8 hektar daripada dua hektar keseluruhan kawasan yang terbakar di Hutan Simpan Samunsam petang ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, Unit Udara Bomba melaksanakan 13 siri pengeboman air bagi memadam kebakaran tersebut.

"Operasi bermula pada 12.55 tengah hari dan api berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan pada 2.47 petang," menurut kenyataan itu.

Anggota dari Balai Bomba Lundu kemudian meneruskan operasi menggunakan fire beaters sehingga operasi ditangguhkan pada 4.30 petang.

Di Betong pula, kira-kira 30 hektar kawasan bekas kebun kelapa sawit dan tanah gambut terbakar di Jalan Bungin, Serembang, hari ini dan enam anggota dari Balai Bomba Betong tiba di lokasi pada 3.15 petang setelah menerima panggilan pada 2.44 petang.

“Operasi pemadaman masih dijalankan setakat 5 petang, namun anggota berdepan kesukaran berikutan laluan sempit dan ketiadaan sumber air di kawasan kebakaran,” menurut kenyataan itu.

JBPM turut mendapat bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong bagi menyediakan jengkaut dan tangki air bersaiz lebih kecil kerana laluan tidak sesuai untuk dilalui lori tangki air JBPM.

-- BERNAMA