Am 22/08/2026 01:04 PM

K.O.I Angkat Kosa Kata Melayu Menerusi Muzik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
K.O.I Angkat Kosa Kata Melayu Menerusi Muzik

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), kumpulan K.O.I. berhasrat untuk terus menggunakan bahasa puitis dan kosa kata Melayu dalam karya akan datang, meskipun tahu ada cabaran bagi mengekalkan pendekatan itu dalam arus muzik semasa.

Komposer lagu Tiwikarma yang juga ahli kumpulan, Achoi berkata pendekatan itu bukan sekadar untuk menghasilkan lirik yang kedengaran indah, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha mereka mengangkat keindahan bahasa Melayu menerusi karya muzik.

“Bahasa Melayu ini sebenarnya sangat indah. Kita ada gurindam, syair, puisi dan pelbagai lagi. Kalau kita kaji balik bahasa Melayu dan kosa kata yang ada, apabila digunakan untuk menghasilkan lagu, susunan lirik dan lagu itu boleh menjadi sangat puitis dan bermakna.

“Jadi, apabila kita menerapkan bahasa kiasan, kadang-kadang orang akan tertanya-tanya kenapa ada ayat itu. Sebenarnya bahasa kiasan dan metafora itu membolehkan sesuatu mesej disampaikan dengan lebih menarik,” katanya kepada Bernama.

Selain Achoi, K.O.I. yang aktif sejak 2024 itu turut dianggotai Mya Nana, Tuan Nicky, Khaza Raflex dan Hemo Globin yang sebelum ini menghasilkan karya seperti Meta Dergama, Niskala Suaka, Air Seni, IOK dan Laraga Muntaha menggunakan pendekatan bahasa puitis.

Maju Johor

Penggunaan bahasa sedemikian juga memberi ruang kepada pendengar memahami sesebuah karya dari sudut yang lebih luas, selain menjadikan mesej yang ingin disampaikan tidak terlalu literal.

Katanya, K.O.I. turut mengambil konsep penggunaan bahasa yang pernah diketengahkan seniman terdahulu, namun mengolahnya menerusi pendekatan muzik yang lebih semasa.

“Seniman dahulu kita panggil legenda, mereka memang perintis. Cuma kita dalam era baharu ini ambil konsep bahasa yang mereka gunakan dulu, kemudian kita ambil konsep muzik yang berlainan sedikit. Kita modenkan sedikit, ada unsur tradisional, tetapi kita buat dalam bentuk semasa,” katanya.

Menurut Mya Nana, kumpulan itu terbuka sekiranya pendengar mempunyai tafsiran berbeza terhadap karya dihasilkan kerana perkara tersebut sebahagian daripada pengalaman menikmati seni, sekali gus selari dengan hasrat K.O.I. dalam menyelitkan nilai, pengajaran dan isu semasa dalam lagu diterbitkan tanpa menyampaikannya secara terlalu literal.

“Kita suka untuk anda yang di luar sana yang mendengar untuk membuat spekulasi sendiri. Apa yang anda faham, apa yang kami sampaikan, dan itulah perkara yang mungkin menjadi benda yang sama. Mungkin anda semua boleh kaitkan lagu ini dengan kehidupan masing-masing sebab memang itu tujuannya,” katanya.

Maju Johor

K.O.I. sebelum ini mencuri perhatian menerusi kemenangan lagu Tiwikarma yang menjadi juara pada AJL40 dengan menggabungkan elemen muzik, bahasa kiasan dan mesej berkaitan isu kemanusiaan dalam karya tersebut.

Bagi Tuan Nicky, persembahan di pentas berprestij itu bukan sekadar pertandingan, sebaliknya bertujuan mencipta pengalaman meninggalkan kesan kepada penonton.

Antara elemen diketengahkan ialah taburan kira-kira 200,000 keping kertas dari atas pentas, mengandungi mesej berbunyi “Mayapada ini (Masa kini) tidak memerlukan lebih ramai pemenang, tetapi lebih ramai manusia yang saling memanusiakan” dan “Ada doa yang diangkat dengan air mata dan ada harapan yang lahir daripada tangan yang menghulur”.

“Ini kali pertama K.O.I. menjejakkan kaki di AJL, kami rasa ini satu peluang keemasan untuk K.O.I. membina satu nama yang besar. Jadi apabila kami memikirkan tentang konsep persembahan, terlintas untuk buat taburan kertas dari atas. Maka terjadilah 200,000 helai kertas dijatuhkan dan memenuhi Axiata (Unifi) Arena,” katanya.

-- BERNAMA