Am 22/08/2026 12:06 PM

Malaysia Gesa ASEAN Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Jerebu Rentas Sempadan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia Gesa ASEAN Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi Jerebu Rentas Sempadan

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia menggesa tindakan kolefktif daripada semua negara anggota ASEAN untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan prinsip Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata semua negara anggota perlu meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi, mempertingkat pengawasan titik panas, memperkasakan penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka serta memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang efisien.

Beliau berkata pendirian itu disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn semalam.

Arthur berkata walaupun kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota masing-masing, risiko jerebu merentas sempadan menuntut kesiapsiagaan kolektif serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau.

"Pelaksanaan intervensi awal, pertukaran maklumat secara tepat serta koordinasi serantau yang erat merupakan elemen asas dalam menangani isu jerebu secara berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemantauan perkembangan cuaca semasa mendapati keadaan kering erterusan di kawasan selatan rantau ASEAN telah mengakibatkan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu.

"Keadaan ini berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Niño yang dijangka beransur menguat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

Arthur berkata Malaysia turut mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) dalam memudah cara penyebaran maklumat, menyelaraskan langkah kesiapsiagaan antara negara anggota serta memperkukuh mekanisme kerjasama di bawah AATHP.

"Malaysia yakin bahawa komitmen padu dan tindakan proaktif seluruh negara anggota ASEAN akan memperkasakan ketahanan serantau dalam mendepani cabaran iklim, seterusnya memelihara alam sekitar yang mampan, sejahtera dan bebas jerebu demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang," katanya.

-- BERNAMA