Ekonomi 22/08/2026 12:43 PM

Industri Perkayuan Perlu Beralih Kepada Produk Bernilai Tinggi - Noraini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Industri Perkayuan Perlu Beralih Kepada Produk Bernilai Tinggi - Noraini
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (dua,kanan) melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian MerdekaPenter 2026 di The Green Factory, Ampang hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

AMPANG, 22 Ogos (Bernama) -- Industri perkayuan Malaysia perlu beralih daripada pengeluaran berasaskan jumlah kepada penghasilan produk bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing serta membina jenama Malaysia yang mempunyai identiti tersendiri, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan produk kayu Malaysia telah menembusi pasaran utama termasuk Amerika Syarikat, Jepun, China, Eropah, Timur Tengah, Australia dan negara-negara Asia.

“Masa depan industri ini tidak boleh bergantung pada jumlah pengeluaran semata-mata.

“Kita perlu bergerak lebih jauh kepada penghasilan produk bernilai tinggi, reka bentuk yang baik, penggunaan teknologi serta pembangunan jenama Malaysia yang mempunyai identiti dan mampu bersaing,” katanya dalam ucapan merasmikan Program Merdekapenter di sini hari ini.

Katanya kerajaan menerusi agensi di bawah kementeriannya termasuk Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) akan membantu industri meningkatkan produktiviti, membangunkan modal insan, memperluas pasaran dan memperkukuh amalan kelestarian.

Beliau berkata nilai kayu bukan hanya terletak pada bahan mentahnya, sebaliknya bertambah melalui kemahiran tangan, idea, reka bentuk dan cerita yang dibawa bersama produk tersebut.

Dalam pada itu, Noraini berkata permintaan terhadap produk yang mempunyai sumber bahan yang bertanggungjawab, boleh dijejaki dan memenuhi keperluan kelestarian semakin penting dalam pasaran ketika ini.

Beliau berkata Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) menyediakan penilaian bebas terhadap pengurusan hutan dan rantaian bekalan produk kayu serta diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) sejak 2009.

“MTCS juga merupakan skim pensijilan kayu tropika pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan tersebut,” katanya.

Noraini berkata hampir 5.9 juta hektar hutan negara, bersamaan lebih 32 peratus daripada keseluruhan kawasan hutan Malaysia, telah bersijil di bawah MTCS manakala 365 syarikat di seluruh negara memegang pensijilan Rantaian Jagaan MTCS/PEFC.

Beliau berkata pensijilan, kecekapan sumber dan inovasi menentukan keupayaan syarikat untuk mendapatkan keyakinan pelanggan dan menembusi pasaran yang lebih mencabar.

“Kelestarian tidak boleh tinggal sebagai slogan. Ia perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, daripada cara bahan diperoleh, produk direka dan sisa diurus, sehinggalah kepada pilihan yang dibuat oleh pengguna,” katanya.

-- BERNAMA