SEMPORNA, 22 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah berjaya merancakkan rantaian ekonomi di Sabah daripada peruncit pulau dan pemborong hingga pengeluar tempatan.
Perluasan Rakan Niaga SARA kini mencecah 1,495 peniaga di Sabah serta penyenaraian barangan buatan tempatan dalam SARA menerusi inisiatif “Kami Support Produk Lokal Sabah” melonjakkan jualan usahawan sekitar 50 hingga 80 peratus, seterusnya memperkasakan pasaran barangan tempatan.
Pengerusi Koperasi Anugerah Haji Badli Sobri Lawdji berkata penyertaan sebagai Rakan Niaga SARA sejak akhir tahun lepas memberi impak besar terhadap perniagaan koperasi ditubuhkan pada awal 2024 itu dan merupakan satu-satunya Rakan Niaga SARA di Pulau Bum-Bum, Semporna.
“Jualan harian melonjak drastik terutamanya pada awal bulan apabila penerima mula menunaikan bantuan, dengan barangan seperti beras, gula, minyak masak, tepung, dan bawang menjadi item paling laris memudahkan penduduk.
"Bekalan barangan sentiasa tidak pernah putus walaupun ketika musim perayaan kerana kami sentiasa membuat persediaan menimbun stok lebih awal," katanya menambah usaha itu memanfaatkan lebih 25,000 penduduk pulau itu layak menerima SARA Untuk Semua, termasuk 3,300 layak mendapat SARA Bulanan serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Sobri dalam temu bual dengan Bernama berkata koperasi itu turut menganjurkan Jualan Rahmah MADANI bagi menyokong penduduk pulau yang sebahagian besarnya bekerja sebagai nelayan dan terjejas pendapatan sewaktu musim angin kencang.
“Diharap SARA diteruskan dan kadarnya ditingkatkan bagi perkasakan peruncit tempatan serta meringankan beban masyarakat pulau,” katanya menambah sebelum ini penduduk menghabiskan sehingga RM50 untuk kos pengangkutan dengan perjalanan kira-kira 15 minit menggunakan bot ke Pekan Semporna.
Sementara itu, Pengarah Dpro Trading Sdn Bhd di Tawau, Tham Nyuk Lin (SHE) berkata perniagaan borong dan runcit yang diusahakannya sejak 2017 mencatatkan peningkatan jualan menggalakkan selepas menyertai SARA bermula akhir tahun lepas.
Beliau menjelaskan kuasa membeli pelanggan tempatan meningkat dengan ketara setiap kali bantuan disalurkan, terutamanya bagi pembelian beras yang merupakan item paling laris diikuti gula, minyak masak, dan produk tempatan.
Selain jualan terus kepada pengguna, premis beliau di Tawau turut menjadi tumpuan peniaga kedai runcit kecil yang mendapatkan bekalan stok secara pukal berjumlah antara RM500 hingga RM600 untuk dijual semula.
"Kedai kami menawarkan harga yang murah, jadi peniaga kecil suka mendapatkan stok dari sini. Ini secara tidak langsung membolehkan mereka menjual semula barangan tersebut atau hasilkan produk daripada barangan itu di kawasan masing-masing dengan harga murah," katanya.
Beliau menambah, bekalan barangan di kedainya secara keseluruhannya sentiasa mencukupi dan hanya mengalami kelewatan minima sekiranya berlaku kelewatan penghantaran daripada pihak pembekal.
Tham berharap program SARA dapat diteruskan secara berpanjangan kerana ia terbukti membantu melonjakkan perniagaan tempatan di samping membantu golongan kurang mampu mendapatkan barangan asas.
Bagi pengeluar barangan tempatan pula, Pegawai Pemasaran Rich Inspiration Sdn Bhd Arsiyati Mando berkata penyenaraian produk keluaran syarikatnya di bawah program SARA melonjakkan lagi jualan perniagaan mereka yang berpusat di Tawau.
Beliau berkata pelbagai barangan asas jenama tempatan Magic Cook seperti tepung jagung, tepung kanji, kicap, dan sos telah diletakkan dalam senarai barangan SARA sejak awal inisiatif itu diperkenalkan kerajaan pada Ogos tahun lepas.
Menurutnya, peningkatan jualan mencatatkan lonjakan ketara berbanding biasa kerana penerima bantuan sentiasa menjadikan barangan yang tersenarai dalam program SARA sebagai pilihan utama mereka.
"Penyertaan dalam SARA amat membantu syarikat kami dalam keadaan ekonomi sekarang. Peningkatan jualan sangat nampak kerana pelanggan memang mengutamakan barangan yang boleh ditebus menerusi program ini," katanya.
Beliau menjelaskan inisiatif berkenaan memberi manfaat serampang dua mata, memudahkan golongan B40 mendapatkan keperluan dapur berkualiti, sambil menyokong ekosistem dan perkembangan industri pembuatan tempatan di Sabah.
Arsiyati turut berharap kerajaan meneruskan program SARA secara berterusan di samping memperluas kategori barangan tempatan yang boleh ditebus demi memberi ruang pertumbuhan lebih besar kepada usahawan tempatan.
-- BERNAMA