Di sebalik deretan pencakar langit, pusat perniagaan dan kemajuan ekonomi ibu kota sebagai nadi pertumbuhan negara, masih terdapat sebahagian masyarakat yang berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan asas kehidupan.
Kemiskinan bandar mempunyai realiti pahit tersendiri kerana hampir setiap keperluan harian seperti makanan, tempat tinggal, pengangkutan dan pendidikan memerlukan perbelanjaan yang berterusan. Berbeza dengan kawasan luar bandar yang masih mempunyai ruang untuk memanfaatkan sumber semula jadi, kehidupan di bandar banyak bergantung pada kemampuan kewangan isi rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata tekanan kos sara hidup di bandar menjadikan cabaran golongan berpendapatan rendah semakin kompleks apabila mereka terus berdepan tekanan perubahan ekonomi, kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau peningkatan komitmen harian.
Menurutnya juga, keadaan itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak menjamin semua lapisan masyarakat terlepas daripada tekanan kehidupan kerana sebahagian keluarga masih memerlukan sokongan bagi memastikan keperluan asas mereka terus terpelihara.
"Dalam konteks masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan khususnya, zakat yang dikutip oleh PPZ-MAIWP dan diagihkan pula oleh MAIWP berperanan sebagai salah satu instrumen penting dalam menyediakan jaringan perlindungan sosial, bukan sahaja bagi membantu golongan yang memerlukan pada masa kini, tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk membina kehidupan lebih stabil pada masa hadapan.
"Namun, keberkesanan sistem zakat terus bergantung pada keupayaan institusi mengurus amanah masyarakat, memperkukuh kepercayaan pembayar serta memastikan setiap dana yang dikumpulkan memberi impak maksimum kepada golongan yang berhak menerimanya," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
SALURAN BANTUAN MESTI BERDASARKAN KEPERLUAN
Dalam memastikan bantuan zakat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, penentuan status asnaf tidak boleh dibuat berdasarkan satu ukuran sahaja, demikian menurut Abdul Hakim. Ini kerana, setiap keluarga mempunyai keadaan dan tanggungan yang berbeza yang perlu dinilai secara menyeluruh.
Buat masa ini, katanya, MAIWP berjaya membantu kira-kira 38,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar serta menerima bantuan bulanan di semua tiga Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Namun, jumlah tersebut bukan satu angka yang statik kerana keadaan ekonomi dan kehidupan masyarakat sentiasa berubah. Realitinya, sebahagian keluarga terbukti berjaya keluar daripada kategori asnaf hasil program pemerkasaan ekonomi, manakala pada masa sama terdapat pula pertambahan keluarga baharu yang memerlukan bantuan akibat perubahan keadaan hidup.
"Antara faktor yang menyebabkan sesebuah keluarga memerlukan bantuan zakat ialah kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan, kematian ketua keluarga, atau mungkin faktor-faktor lain yang menjejaskan kemampuan mereka," ujarnya.
Katanya sudut syarak, definisi golongan fakir merujuk individu atau keluarga yang hampir tiada sumber pendapatan sehingga tidak mampu memenuhi keperluan asas kehidupan, manakala miskin pula mempunyai pendapatan tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas diri dan tanggungan.
Bagaimanapun, penentuan seseorang sebagai asnaf tidak dibuat berdasarkan jumlah pendapatan semata-mata. Sebaliknya, MAIWP menggunakan pendekatan Had Kifayah iaitu satu kaedah penilaian yang mengambil kira keseluruhan keadaan sesebuah isi rumah termasuk bilangan tanggungan, umur ahli keluarga, tempat tinggal, kos makanan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, utiliti serta keperluan asas lain.
Menurutnya juga, pendekatan sebegini penting kerana dua keluarga yang mempunyai jumlah pendapatan sama tidak semestinya berada dalam keadaan kewangan yang sama.
"Perlu kita faham, Had Kifayah bukan satu angka tetap. Ia sebenarnya mengambil kira keadaan sebenar sesebuah keluarga supaya bantuan dapat diberikan hanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Oleh sebab itulah, pemahaman terhadap konsep ini penting kerana kelayakan menerima bantuan zakat bukan sekadar melihat jumlah pendapatan, tetapi sejauh mana sesebuah keluarga mampu memenuhi keperluan asas berdasarkan keadaan sebenar kemampuan ekonomi mereka,” jelasnya lagi.
MEMPERKUKUH KUTIPAN ZAKAT, PERLUAS MANFAAT
Bagi memastikan keperluan golongan asnaf terus dipenuhi, pengurusan dana zakat memerlukan perancangan yang mampan kerana tanggungjawab agihan bukan sahaja melibatkan bantuan semasa, malah merangkumi pelbagai bentuk sokongan kepada lapan kategori asnaf yang layak mengikut syarak.
Abdul Hakim berkata keperluan agihan zakat di Wilayah Persekutuan kini mencecah sekitar RM100 juta sebulan, meliputi bantuan kewangan bulanan, pendidikan, perubatan, kebajikan, pembangunan institusi Islam serta pelbagai program pemerkasaan ekonomi.
"Setiap pertambahan kutipan bukan sekadar meningkatkan jumlah dana, tetapi memberi ruang kepada MAIWP untuk membantu lebih ramai keluarga asnaf, meningkatkan nilai bantuan mengikut kos sara hidup zaman sekarang, selain memastikan sistem agihan zakat kekal mampan pada masa depan," jelasnya.
Beliau turut berkata keperluan memperkukuh kutipan zakat sedia ada menjadi semakin penting kerana jumlah penerima bantuan serta kos penyediaan pelbagai bentuk bantuan sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi semasa dan peningkatan berterusan kos sara hidup, ditambah tekanan konflik geopolitik dunia.
Setakat Julai, kutipan zakat PPZ-MAIWP berjumlah sekitar RM600 juta, manakala sasaran keseluruhan bagi tahun ini ialah RM1.352 bilion, dengan jumlah pembayar zakat PPZ-MAIWP pada 2025 ialah seramai 250,054 individu.
Menurutnya lagi, Wilayah Persekutuan diakui mempunyai potensi kutipan cukup besar berdasarkan kedudukannya sebagai pusat ekonomi negara. Kuala Lumpur sahaja mempunyai lebih dua juta penduduk, hampir separuh daripadanya beragama Islam dan majoritinya berada dalam lingkungan umur bekerja. Pada masa sama, ibu negara turut merekodkan antara pendapatan isi rumah tertinggi di Malaysia.
"Ini menunjukkan masih terdapat ruang yang luas untuk meningkatkan penyertaan umat Islam yang layak berzakat.
"Apa yang kami lihat hari ini bukan isu kekurangan kemampuan masyarakat (untuk membayar zakat), tetapi masih terdapat sebahagian besar yang belum mengira zakat dengan tepat, belum menyedari bahawa mereka telah melepasi nisab berzakat, atau belum menjadikan pembayaran zakat sebagai amalan tahunan," tambahnya lagi.
Beliau berkata apabila lebih ramai umat Islam yang layak menunaikan zakat, impaknya bukan sekadar meningkatkan jumlah kutipan, malah memperkukuh keupayaan institusi zakat untuk memperluas liputan bantuan serta memperkasakan lebih ramai asnaf sehingga mampu berdikari dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
TEKNOLOGI, INOVASI PERKUKUH EKOSISTEM ZAKAT
Abdul Hakim turut ingin mengingatkan peningkatan kutipan zakat bukan hanya bergantung pada kemampuan masyarakat menunaikan kewajipan tersebut, tetapi pada tahap keyakinan mereka terhadap institusi zakat.
Beliau berkata ini kerana kepercayaan masyarakat merupakan aset paling bernilai yang perlu dipelihara kerana kutipan zakat hanya dapat berkembang apabila pembayar terus yakin setiap amanah yang diserahkan akan diurus secara telus, berintegriti dan memberi manfaat kepada golongan yang berhak.
Oleh itu, prinsip amanah tersebut perlu diterjemahkan melalui sistem tadbir urus yang kukuh bagi memastikan setiap proses pengurusan zakat dilaksanakan secara sistematik dan bertanggungjawab.
Bagi memperkukuh pengurusan organisasi, PPZ-MAIWP melaksanakan beberapa piawaian antarabangsa termasuk Sistem Pengurusan Kualiti (ISO QMS), Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISO ISMS) dan Sistem Pengurusan Antirasuah (ISO ABMS).
“Pelaksanaan piawaian tersebut bagi membantu memastikan proses kerja dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan, selain memperkukuh aspek kualiti perkhidmatan, keselamatan maklumat dan integriti dalam pengurusan dana zakat,” tambahnya lagi.
Selain itu, bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta memastikan keputusan dibuat berdasarkan maklumat yang tepat, pihaknya turut memanfaatkan teknologi seperti analitik data, kecerdasan buatan (AI) dan papan pemuka Power BI.
(Power BI merupakan platform analitik data yang membolehkan maklumat operasi dipersembahkan dalam bentuk papan pemuka interaktif, sekali gus membantu PPZ-MAIWP memantau perkembangan kutipan, mengenal pasti corak perubahan serta membuat keputusan berdasarkan data secara lebih pantas dan tepat.)
Menurutnya lagi, penggunaan teknologi sekali gus membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data dan fakta, bukannya semata-mata bergantung pada andaian. Bahkan, transformasi yang dilaksanakan bukan sekadar bertujuan meningkatkan kecekapan organisasi, tetapi memastikan urusan zakat menjadi lebih mudah, pantas dan diyakini masyarakat.
Dalam masa sama, PPZ-MAIWP turut memberi penekanan kepada transformasi digital bagi memudahkan masyarakat menunaikan kewajipan zakat menerusi pelbagai saluran pembayaran yang lebih fleksibel.
Menurutnya, pendigitalan bukan bertujuan menggantikan kaedah konvensional sepenuhnya, sebaliknya menyediakan lebih banyak pilihan kepada pembayar mengikut keselesaan dan keperluan masing-masing.
Selain pembayaran di kaunter, pembayar kini boleh menunaikan zakat menerusi pelbagai saluran termasuk pembayaran dalam talian, aplikasi digital, kod QR, kerjasama bersama institusi kewangan serta Skim Potongan Zakat Bulanan.
Berhubung skim ini, beliau berkata, kerjasama dengan lebih 3,500 majikan daripada sektor awam dan swasta membolehkan ia menjadi antara saluran utama pembayaran zakat di Wilayah Persekutuan.
Lebih menarik, skim tersebut kini menyumbang kira-kira 69 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat PPZ-MAIWP, menunjukkan kepentingan menyediakan kaedah pembayaran yang mudah dan konsisten kepada masyarakat.
KAITAN ZAKAT, ESG & KELESTARIAN SOSIAL
Di sebalik usaha memperkukuh kutipan, tadbir urus dan penggunaan teknologi, matlamat akhir ekosistem zakat bukan sekadar memastikan dana dapat dikumpulkan, tetapi bagaimana ia mampu membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat.
Menurut Abdul Hakim setiap strategi yang dilaksanakan oleh institusi zakat perlu berpaksikan kepada prinsip maqasid syariah yang bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi kesejahteraan umat.
Beliau turut berkata prinsip tersebut diterjemahkan melalui usaha memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat, memastikan bantuan sampai kepada golongan yang berhak serta memperluaskan program yang membantu asnaf meningkatkan keupayaan diri.
Pendekatan tersebut juga katanya mempunyai persamaan dengan agenda Alam sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kini menjadi antara penanda aras kelestarian organisasi moden, khususnya dari sudut tanggungjawab sosial dan tadbir urus.
"Dalam konteks zakat, elemen sosial bukan sekadar memberi bantuan kepada penerima yang layak, tetapi bagaimana kita membantu masyarakat membina kehidupan yang lebih baik. Elemen tadbir urus pula diterjemahkan melalui ketelusan, integriti dan amanah kita dalam mengurus dana zakat," katanya.
Pandangan itu turut disokong pakar ekonomi Islam Dr Mohd Faizal P. Rameli yang menyifatkan sistem zakat mempunyai asas tadbir urus yang lebih awal sebelum konsep ESG diperkenalkan dalam dunia korporat.
Menurut beliau, keunikan pengurusan harta dalam Islam terletak pada paradigma tauhid yang melihat manusia sebagai pemegang amanah, bukannya pemilik mutlak kepada harta yang dimiliki.
Katanya, pemahaman tersebut menjadikan integriti dalam pengurusan zakat bukan sekadar bergantung kepada prosedur, audit atau pensijilan, tetapi turut berpunca daripada kesedaran dalaman seseorang pegawai zakat bahawa setiap amanah akan dipertanggungjawabkan.
Dalam masa sama, beliau yang juga Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin berkata pembangunan asnaf perlu bergerak melangkaui pemberian bantuan asas kepada usaha membina keupayaan penerima supaya mereka mampu meningkatkan taraf kehidupan secara berterusan.
Ini bermaksud, setiap bantuan berbentuk modal perniagaan atau peralatan kerja perlu disertai dengan pemantauan, latihan dan bimbingan supaya impaknya dapat diukur.
"Kadangkala kita beri bantuan seperti mesin jahit, tetapi persoalannya berapa banyak di antara mesin jahit itu benar-benar digunakan dan membantu penerima keluar daripada kemiskinan? Kita perlu melihat proses selepas bantuan diberikan," soalnya.
Oleh sebab itu, beliau mencadangkan supaya kerjasama dengan universiti, institusi profesional dan pihak berkepentingan diperluas bagi membantu institusi zakat menilai keberkesanan program pemerkasaan asnaf secara lebih sistematik.
Menurutnya ini kerana ukuran kejayaan sebenar institusi zakat bukan apabila jumlah penerima bantuan terus meningkat, tetapi apabila ekosistem tersebut berjaya mengubah penerima zakat hari ini menjadi pembayar zakat (muzakki) pada masa depan.