KUANTAN, 21 Ogos (Bernama) -- OSK Property mempercepat pelancaran Fasa 2 projek OSK Ombak 18 bulan lebih awal daripada jadual asal susulan Fasa 1 pembangunan itu habis dilanggan dalam tempoh hanya tiga bulan selepas diperkenalkan.
Menurut kenyataan OSK Property hari ini, pembangunan berinspirasikan Mediterranean bernilai RM690 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 2.42 hektar di sepanjang Pantai Balok di sini, dijangka siap pada 2030.
Syarikat itu memaklumkan projek berkenaan menggabungkan konsep kediaman tepi pantai dengan kemudahan bertemakan destinasi serta pilihan penginapan fleksibel dalam kawasan pesisir pantai yang telah membangun.
“Merangkumi tiga menara pangsapuri servis dan unit runcit terpilih, projek ini menawarkan 1,274 unit kediaman berperabot lengkap daripada studio hingga tiga bilik tidur, termasuk unit berkonsepkan dwikunci,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property Chu Wai Lune berkata sambutan menggalakkan terhadap Fasa 1 mencerminkan penerimaan kukuh terhadap projek berkenaan, selain menunjukkan keyakinan pembeli terhadap pembangunan itu.
Beliau berkata OSK Ombak menawarkan gabungan menarik antara gaya hidup, fleksibiliti pemilikan dan potensi pelaburan jangka panjang.
OSK Ombak turut menawarkan pengalaman kediaman berkonsepkan resort menerusi pelbagai kemudahan yang dibangunkan di kawasan seluas lebih 1.21 hektar, antaranya kolam renang bertingkat yang bersambung dengan gua pengembaraan ikonik Blue Cove, Ninja Park, ruang rekreasi aktif, taman berlandskap di aras podium serta laman acara yang luas.
-- BERNAMA