Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 19 Ogos (Bernama) -- Affin Bank Malaysia dan Bank Central Asia (BCA) Indonesia memeterai kerjasama strategik untuk menyediakan keistimewaan timbal balik kepada pelanggan mereka yang mengembara antara kedua-dua negara, meliputi penjagaan kesihatan, hospitaliti, tempat makan, beli-belah dan gaya hidup.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Datuk Wan Razly Abdullah berkata kerjasama itu akan membolehkan pemegang kad BCA yang mengunjungi Malaysia menikmati keistimewaan eksklusif di seluruh rangkaian peniaga yang mengambil bahagian di bawah Affin.
Sementara itu, pemegang kad Affin yang melancong ke Indonesia pula akan menerima manfaat yang sama melalui peniaga BCA yang mengambil bahagian.
“Kerjasama ini hadir pada masa yang amat baik untuk Malaysia dan juga Indonesia. Kedua-dua negara ini berkongsi lebih daripada sekadar kedekatan geografi. Kita dihubungkan oleh sejarah dan perdagangan, pelaburan dan pergerakan rakyat yang semakin berkembang,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik Affin Group-BCA, di sini, pada Rabu.
Wan Razly dan Pengarah Presiden BCA, Hendra Lembong menandatangani perjanjian kerjasama itu, yang menandakan kerjasama strategik antara kedua-dua bank.
Peniaga yang mengambil bahagian di Malaysia ialah Pusat Perubatan Sunway dan Traders Hotel by Shangri-La, manakala di Indonesia pula ialah Central Department Store, B-Art Clinic dan Swiss-Belhotel International.
Wan Razly berkata kerjasama itu turut melangkaui keistimewaan pelancongan dan gaya hidup kepada hubungan budaya antara kedua-dua negara, sambil mengetengahkan duta jenama Affin, Datuk Seri Siti Nurhaliza, salah seorang penyanyi paling terkemuka di Malaysia, yang menghadiri majlis berkenaan dan menyanyikan beberapa lagu popularnya.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, beliau berkata pelanggan BCA menerima akses prajualan eksklusif ke konsert Gema Bumantara Siti Nurhaliza di Malaysia pada 17 Oktober, manakala pelanggan Affin pula menerima akses prajualan ke Pagelaran Sabang Merauke di Indonesia Arena di Jakarta dari 21 hingga 23 Ogos.
Pada masa hadapan, Wan Razly berkata kerjasama pada masa ini 'hanyalah permulaan', dengan Affin dan BCA berpeluang meneroka kerjasama yang lebih mendalam memandangkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang.
Ini kerana eksport Malaysia ke Indonesia yang mencecah RM5.75 bilion setakat Mei 2026, meningkat 42 peratus tahun ke tahun, sekali gus menunjukkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, kata beliau.
Beliau berkata bidang yang berpotensi untuk kerjasama lebih mendalam termasuk pertukaran mata wang asing, pembiayaan perdagangan, penyelesaian pembiayaan dan keupayaan perbankan rentas sempadan yang lain, menggabungkan kekuatan Affin dalam bidang-bidang berkenaan dengan rangkaian luas BCA di Indonesia.
“Bersama-sama dengan keupayaan dan rangkaian luas BCA di Indonesia, kami percaya terdapat potensi yang besar untuk mewujudkan hubungan kewangan yang lebih kukuh antara kedua-dua pasaran ini dan akhirnya merentasi rantau ASEAN,” tambahnya
-- BERNAMA