SEOUL, 19 Ogos (Bernama-Yonhap) – Kerajaan Metropolitan Seoul pada Rabu mengumumkan akan memastikan kaki lama di seluruh bandar itu mempunyai teduhan pada 2028, sebagai antara langkah menangani kepanasan melampau yang mengancam keselamatan orang awam, lapor Agensi Berita Yonhap.
Datuk Bandar Seoul Oh Se-hoon mengumumkan dasar yang menjamin "hak orang ramai untuk berjalan di laluan teduh,” semasa taklimat akhbar di Dewan Bandaraya, menekankan kepentingan mendesak perkara itu.
"Gelombang haba bukan lagi ketidakselesaan sementara yang berlalu jika anda mengharunginya selama beberapa hari," kata Oh.
"Apabila gelombang haba bertambah kuat dan berlaku lebih lama, ia telah menjadi bencana harian yang mengancam nyawa dan keselamatan rakyat."
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, 31.4 peratus daripada 815 kes penyakit berkaitan haba yang dilaporkan di Seoul antara 2023 dan 2025 berlaku di jalanan.
Kerajaan bandar itu bercadang untuk melaksanakan strategi tiga langkah iaitu mengenal pasti zon terdedah, mewujudkan penyelesaian peneduh yang disesuaikan dan menghubungkan laluan pejalan kaki.
“Jika boleh, bandar ini juga merancang untuk menanam lebih banyak pokok dan di kawasan lain, memasang sengkuap (awning) bermusim, kanopi dan tempat perlindungan kecil.
Setelah siap, laluan dengan naungan akan menghubungkan kawasan kediaman ke stesen kereta api bawah tanah, sekolah, pasar, hospital dan taman.
"Kami akan menjadikan teduhan bukan sekadar kemudahan di tempat terpilih, tetapi perkhidmatan asas yang melindungi kesihatan dan kehidupan seharian rakyat," kata Oh.
Inisiatif berkenaan akan dimulakan dengan program perintis di 10 jalan dengan trafik pejalan kaki yang tinggi dan akan berlangsung hingga 2027.
Selepas penilaian program itu, rangkaian pejalan kaki dilengkapi teduhan akan diperluas ke seluruh bandar pada 2028.
-- BERNAMA-YONHAP