Dunia 19/08/2026 03:03 PM

Lula Sambut Baik Penemuan Minyak Di Muara Amazon

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lula Sambut Baik Penemuan Minyak Di Muara Amazon
-- REUTERS/Adriano Machado

RIO DE JANEIRO, 19 Ogos (Bernama-dpa) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menyifatkan penemuan minyak di muara Amazon sebagai “pasport untuk masa depan negara”, dalam satu rakaman video yang disiarkan laman berita G1 pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Lula berkata demikian ketika melawat sebuah kapal penggerudian yang dikendalikan Petrobras, syarikat minyak separa milik kerajaan Brazil.

Petrobras mengumumkan penemuan hidrokarbon pada kedalaman hampir 2,900 meter, kira-kira 175 kilometer dari pantai wilayah Amapá.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrobras Magda Chambriard berkata jumlah keseluruhan rizab berkenaan masih belum dapat ditentukan dengan tepat pada peringkat ini.

Beliau berkata syarikat itu akan meneruskan penerokaan bagi mengetahui potensi yang dimiliki Amapá.

Mengulas kritikan antarabangsa terhadap pengeluaran bahan api fosil di muara Amazon, Lula berkata isu itu melibatkan kedaulatan negara.

“Negara yang mempunyai minyak berkualiti seperti ini tidak akan membenarkan sesiapa campur tangan dalam perkara itu,” katanya.

Aktivis alam sekitar bimbang kegiatan pengekstrakan minyak boleh mengancam biodiversiti perairan di kawasan berkenaan serta memberi kesan negatif terhadap perubahan iklim.

Greenpeace Brasil pada tahun lepas, menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) di Belém turut memberi amaran bahawa hak masyarakat Orang Asli yang tinggal di rantau itu mungkin diabaikan.

Brazil kini menduduki tempat kelapan dalam kalangan pengeluar minyak terbesar dunia.

-- BERNAMA-dpa