KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok lima pasukan terbaik pada kempen Liga Super yang akan membuka tirai Sabtu ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata skuad Penyu menetapkan sasaran yang realistik kerana dijangka bakal menghadapi persaingan yang lebih sengit daripada pasukan bertanding musim ini.
Beliau bagaimanapun berkata kekuatan pasukan kali ini dilihat lebih baik daripada aspek barisan kejurulatihan dan pemain import berpengalaman, yang diyakini mampu memberi impak positif kepada skuad Penyu.
“Ketua jurulatih mungkin ada sasaran peribadi tetapi pihak pengurusan menyasarkan lima teratas kerana kami dapati persiapan banyak pasukan seperti Star City, Kuching City FC dan Selangor yang bertanding musim ini amat baik.
“… tetapi pada masa sama, kami pastinya mengharapkan keputusan lebih bagus berbanding musim lepas. Kualiti skuad yang kami ada musim ini juga lebih baik dan meyakinkan… aura itu ada. Insya-Allah, kami boleh pergi jauh,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara TFCSB dengan Klinik Perubatan Wildan di sini hari ini.
Mohd Syahrizan berkata setakat ini pihaknya berjaya mengumpul penajaan bernilai kira-kira RM3 juta daripada 19 syarikat dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan bagi membiayai perbelanjaan pasukan musim ini.
Sehubungan dengan itu, beliau amat mengalu-alukan sebarang tajaan daripada mana-mana syarikat bagi melancarkan dan memantapkan perjalanan serta pengurusan skuad Penyu.
“Jumlah penajaan tidak banyak berbeza dengan musim lepas. Sebahagian besar penaja adalah syarikat sama yang masih percaya kepada reputasi dan kemampuan pasukan. Kami amat menghargai sokongan yang diberikan dan berharap dapat membalas kepercayaan mereka dengan keputusan yang baik.
“Mulai tahun ini, TFC memberi fokus lebih serius kepada pembangunan aktiviti perniagaan bagi menjana pendapatan pasukan, iaitu dengan menghasilkan jersi jenama sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Syahrizan berkata pihaknya menjangkakan kehadiran 15,000 pengunjung pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu ini.
-- BERNAMA