KAJANG, 19 Ogos (Bernama) -- Atlet silat Terengganu Nor Ainun Mokhtar menutup penampilan terakhirnya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan mempertahankan pingat emas kategori puteri Kelas E 65-70 kilogram (kg) yang dimenanginya dua tahun lepas.
Pada aksi final di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) hari ini, atlet berusia 21 tahun itu mendominasi pertarungan sejak pusingan pertama menentang wakil Kelantan Nik Nurul Kamilia Atika Nik Mohd Iruan sebelum meraih kemenangan menerusi keputusan Wasit Menghentikan Pertandingan (WMP) ketika mendahului 33-3.
WMP diberikan apabila jurang mata antara pesilat melebihi 30 markah.
Nor Ainun ketika mengulas mengenai kejayaan itu berkata ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau bergelut dengan kecederaan bahu sejak pusingan pertama.
“Saya rasa kali ini sukar sedikit berbanding sebelum ini kerana saya mengalami kecederaan pada bahu kiri dan kanan tetapi saya berjaya kawal kesakitan.
“Saya bersyukur dapat pingat emas kedua selepas kali pertama pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak,” kata pesilat kebangsaan itu ketika ditemui selepas perlawanan.
Nor Ainun berkata selepas ini beliau meletakkan sasaran untuk memenangi kejohanan dunia di Tashkent Uzbekistan pada Disember ini dan Sukan SEA 2027 di Malaysia.
“Sukan SEA di Thailand saya tidak masuk sebab acara saya tak dipertandingkan. Jadi, saya harap dapat emas pada Sukan SEA tahun depan,” katanya.
-- BERNAMA