IPOH, 19 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga bot tunda Kelas B bersama sembilan kru warga Myanmar kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di perairan Pulau Pasir Hitam, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata ketiga-tiga bot itu ditahan kira-kira 1 tengah hari oleh sepasukan anggota yang menjalankan pemeriksaan susulan aduan dan maklumat awam mengenai aktiviti bot terbabit.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati setiap bot dikendalikan tiga kru warga Myanmar dan kesemua mereka disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.
"Pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati warga asing berkenaan menerima gaji tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak menjalankan aktiviti secara usaha sendiri.
"Bot kedua pula didapati gagal mempamerkan lesen bot selain disyaki menggaji warga asing tanpa kebenaran dan tidak menjalankan aktiviti secara usaha sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hairil berkata pemeriksaan terhadap bot ketiga mendapati lesennya telah tamat tempoh, selain turut disyaki melakukan kesalahan berkaitan penggajian warga asing dan tidak menjalankan aktiviti secara usaha sendiri.
“Kesemua bot bersama sembilan kru terbabit dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata kesalahan dokumen dan permit kerja kru warga asing disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, manakala kesalahan berkaitan bot serta aktiviti perikanan di bawah Akta Perikanan 1985.
-- BERNAMA