Oleh Farhana Abd Kadir
KLANG, 19 Ogos (Bernama) -- Ketika individu seusianya memilih untuk memperlahankan rentak kehidupan, seorang warga emas masih gagah melangkah ke gelanggang taekwondo miliknya yang terletak di Bandar Bukit Tinggi di sini.
Leong Yong Wah, 71, melakukan rutin itu bukan sekadar untuk mengekalkan kecergasan, sebaliknya membimbing generasi muda membina disiplin, memupuk rasa hormat dan menyemai semangat perpaduan menerusi sukan berkenaan.
Bersama-sama isterinya, Yeap Swee Bee, 66, pasangan warga emas berkenaan membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif, produktif dan menyumbang kepada masyarakat, sekali gus menterjemahkan makna kesejahteraan menerusi kehidupan yang sihat dan menua dengan bermaruah.
Kisah pasangan itu juga selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, apabila kesejahteraan bukan hanya bermakna menikmati kemudahan tetapi turut mempunyai ruang untuk terus bergerak, bersosial dan menyumbang tanpa mengira usia.
Bagi Leong, pemegang tali pinggang hitam 8th Dan Kukkiwon yang mula mengajar taekwondo pada 1970, kejayaan tidak hanya diukur menerusi pingat atau gelaran yang diraih anak didiknya, sebaliknya apabila berjaya membentuk generasi berdisiplin, berakhlak dan hidup dalam semangat perpaduan.
“Saya mula mengajar taekwondo ketika berusia 20 tahun. Sekolah pertama yang saya latih ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa dengan hanya enam murid. Selepas itu jumlah pelajar bertambah dan kami mula mengajar di lebih 10 sekolah di sekitar Selangor,” katanya kepada Bernama.
Pada 2010, beliau menubuhkan pusat latihan rasmi Power Sport Taekwondo Club yang pada awalnya diwujudkan bagi memenuhi permintaan pelajar yang mahu menjalani latihan tambahan untuk menyertai kejohanan, sebelum berkembang dengan penyertaan orang awam.
Selepas lebih lima dekad bergelar jurulatih, kira-kira 20,000 individu pernah menerima latihan di bawah bimbingannya.
Pengalaman pasangan itu membuktikan kesejahteraan pada usia emas bukan sekadar menerima penjagaan, sebaliknya turut merangkumi peluang untuk kekal sihat, berdikari, mempunyai jaringan sosial dan terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Selangor mempunyai kira-kira 908,500 penduduk berumur 60 tahun dan ke atas pada 2025, merangkumi 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri itu, sekali gus memperlihatkan kepentingan mewujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan warga emas yang aktif dan bermaruah.
Usaha ke arah itu turut diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), program saringan kesihatan warga emas serta Bantuan Warga Emas sebanyak RM600 sebulan kepada mereka yang layak bagi membantu golongan itu terus menjalani kehidupan dalam komuniti.
Sementara itu, Yeap yang turut menjadi jurulatih dan pernah memenangi pingat perak pada Kejohanan Poomsae Dunia 2024 di Hong Kong berkata pengalaman sendiri membuktikan gaya hidup aktif memberi kesan besar terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Dalam pada itu, Leong berkata antara kekuatan utama taekwondo ialah keupayaannya menyatukan masyarakat berbilang kaum apabila pelajar Melayu, Cina dan India berlatih bersama dalam suasana harmoni sehingga mewujudkan hubungan seperti sebuah keluarga besar.
“Apabila ada kejohanan, mereka saling menyokong dari pagi hingga malam. Tiada jurang kaum kerana semua mempunyai matlamat yang sama untuk belajar dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.
Sepanjang penubuhan kelab itu, pasangan berkenaan turut melahirkan beberapa atlet, antaranya Vasugi Maruthamuthu yang memenangi pingat gangsa acara demonstrasi taekwondo pada Sukan Olimpik 1988 di Seoul, sekali gus membuktikan nilai yang diterapkan di gelanggang mampu berkembang jauh melangkaui bidang sukan.
Leong berharap lebih ramai golongan dewasa dan warga emas menyertai aktiviti fizikal termasuk taekwondo kerana penglibatan mereka bukan sahaja membantu mengekalkan kesihatan, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda.
“Apabila warga emas terus aktif, mereka membuktikan semangat cintakan kehidupan, perpaduan dan pembelajaran sepanjang hayat tidak pernah mengenal usia,” katanya.
-- BERNAMA