KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) menubuhkan MIFC Business Network (MBN), platform diterajui industri bagi menyelaras keutamaan sektor, memperkukuh hubungan antarabangsa serta menyokong kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam global.
MIFC berkata MBN menghimpunkan institusi daripada pelbagai segmen ekosistem kewangan Islam bagi menyelaras keutamaan, berkongsi pandangan dan bekerjasama dalam meneroka peluang yang dapat meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Dengan menghimpunkan institusi daripada pelbagai segmen ekosistem kewangan Islam, MBN menyediakan wadah kepada penggiat industri untuk menyelaras bidang tumpuan utama, berkongsi perspektif dan bekerjasama dalam meneroka peluang yang dapat meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa," menurut MIFC dalam satu kenyataan hari ini.
MBN turut bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta pihak berkepentingan lain daripada sektor awam dan industri untuk mengenal pasti peluang pasaran, memperteguh kerjasama strategik dan memudah cara inisiatif yang dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam kewangan Islam global.
Bersempena ulang tahun ke-20 inisiatif MIFC, MBN turut merancang untuk memperluas keahliannya secara berperingkat dengan penyertaan lebih banyak institusi yang komited untuk bersama-sama memajukan agenda kewangan Islam antarabangsa Malaysia.
“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, MBN akan memanfaatkan kekuatan sedia ada Malaysia dalam kewangan Islam dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan perkongsian strategik dan hubungan antarabangsa, menyokong peluang rentas sempadan serta terus memperkemas Pelan Hala Tuju Strategik,” katanya.
-- BERNAMA