BATU GAJAH, 19 Ogos (Bernama) -- Deretan gerai di Pasar Malam Pandak Akhat tampil lebih meriah apabila Jalur Gemilang mula menghiasi ruang niaga bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan yang semakin terasa dalam kalangan peniaga dan pengunjung.
Inisiatif itu digerakkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) yang turun padang mengagihkan Jalur Gemilang kepada kira-kira 200 peniaga di pasar malam berkenaan.
Presiden PPKMP Alfirza Munira Abdul Muin berkata selain Jalur Gemilang, pihaknya turut mengedarkan apron kepada peniaga sebagai sebahagian daripada program yang julung-julung kali dianjurkan pada tahun ini.
Beliau berkata peniaga memberikan sambutan yang amat menggalakkan, termasuk mengambil inisiatif sendiri menghias dan mengibarkan Jalur Gemilang di gerai masing-masing.
"Kita juga turut mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan gerai terbaik mengikut tema kemerdekaan dan saya melihat para peniaga di sini mengambil inisiatif yang sangat menggalakkan," katanya kepada pemberita selepas Program Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau di sini, semalam.
Alfirza Munira berkata sambutan positif daripada peniaga dan pengunjung membuka ruang untuk program seumpama itu diteruskan di lokasi lain pada masa akan datang, dan pihaknya turut merancang mengadakan program berkaitan bersempena dengan Hari Malaysia pada 16 Sept depan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh Steven Tiw Tee Siang berkata suasana di pasar malam berkenaan memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai kaum dapat bersama-sama meraikan bulan kemerdekaan dalam suasana santai.
"Apabila kami turun ke padang, kami dapat merasakan tidak kira sama ada Cina, India atau Melayu, sama-sama kita sebagai rakyat Malaysia dapat meraikan kemerdekaan ini," katanya.
-- BERNAMA