SHAH ALAM, 18 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dengan mengiktiraf kecemerlangan, dedikasi dan komitmen warga kerjanya menerusi Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 (APC) dan Jasamu Dikenang 2026 berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata penganjuran majlis itu merupakan platform penghargaan kepada warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, integriti tinggi dan komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada pencapaian serta kemajuan organisasi.
Beliau berkata pengiktirafan tersebut bertujuan memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dengan meraikan kecemerlangan, dedikasi, serta kesetiaan warga kerja yang menjadi pendorong utama kepada pencapaian dan kemajuan organisasi.
“Kita melakukan sedikit perubahan dan kini APC diberikan berdasarkan prestasi serta pencapaian boleh diukur, termasuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan lebih penting, kita juga melihat ramai warga PKNS yang telah berkhidmat selama 30 hingga 35 tahun.
“Apabila mereka hadir bersama pasangan dan naik ke pentas untuk menerima anugerah, kita dapat melihat rasa bangga yang terpancar daripada keluarga mereka dan atas sebab itu, saya percaya APC perlu diteruskan kerana pengiktirafan seperti ini amat bermakna kepada warga kerja,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Pada tahun ini, pengiktirafan diberikan menerusi beberapa kategori utama iaitu APC, Anugerah Khas Pengerusi PKNS, Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anugerah Prestasi Cemerlang Anak Syarikat.
Bagi kategori APC, sebanyak 50 petugas menerima pengiktirafan, manakala 23 petugas menerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan sebagai penghargaan terhadap prestasi dan sumbangan mereka sepanjang tahun penilaian.
Bagi penerima APC, masing-masing menerima sijil penghargaan, cek bernilai RM1,000 serta insentif prestasi bersamaan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi tempoh setahun, sementara penerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan menerima sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang.
Sementara itu, Anugerah Khas Pengerusi PKNS diberikan kepada Ahli Perbadanan sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen mereka kepada PKNS, dengan setiap penerima menerima sijil penghargaan serta hadiah prestasi berjumlah RM1,000.
Penerima Anugerah Prestasi Cemerlang Anak Syarikat pula menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan sumbangan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab di syarikat kumpulan.
Pada majlis sama, sebanyak 66 petugas menerima Anugerah Perkhidmatan Lama, membabitkan 14 individu yang genap 30 tahun perkhidmatan, 20 petugas 25 tahun dan 32 petugas 20 tahun, dengan setiap daripada mereka menerima medalion emas, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) serta sijil penghargaan.
Majlis itu turut meraikan 46 pesara bersama pasangan sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti mereka sepanjang berkhidmat dengan PKNS, dengan setiap pesara menerima medalion emas, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN), sijil penghargaan serta kepingan emas.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang menyampaikan kesemua anugerah berkenaan berkata warga kerja PKNS perlu bersedia melakukan anjakan strategik dalam mendepani cabaran ekonomi baharu, termasuk penerokaan sektor perkhidmatan pelabuhan serta pelaksanaan program pembaharuan perbandaran di Selangor.
Menurutnya pencapaian PKNS dalam menerajui pembangunan negeri selama lebih enam dekad tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan warga kerjanya yang mencurahkan tenaga, buah fikiran, masa dan komitmen kepada organisasi.
-- BERNAMA