WELLINGTON, 18 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan New Zealand melancarkan geran bernilai NZ$1.5 juta (kira-kira US$880,000) bagi membantu pengusaha ternakan membuat persediaan menghadapi kemungkinan penularan avian influenza H5, kata seorang pegawai kanan pada Selasa, lapor Xinhua.
Menteri Biosekuriti Andrew Hoggard dalam satu kenyataan berkata kerajaan menyokong pengusaha berskala kecil dan sederhana untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi avian influenza H5, sekali gus membantu melindungi pekerjaan, mata pencarian dan bekalan makanan domestik New Zealand.
Geran biosekuriti ternakan itu akan membayar balik sehingga 50 peratus daripada kos yang ditanggung pengusaha dengan jumlah maksimum NZ$25,000, bagi melaksanakan langkah termasuk menaik taraf infrastruktur, kawalan akses, perlindungan daripada burung liar serta kemudahan pembersihan dan pembasmian kuman, menurut kenyataan itu.
Geran berkenaan terbuka kepada pengusaha ternakan yang mempunyai kurang daripada 100,000 ekor ternakan dan bertujuan membantu mereka membuat persediaan menghadapi peraturan biosekuriti baharu yang diumumkan kerajaan pada Julai dan akan berkuat kuasa menjelang akhir 2026.
New Zealand merekodkan dua kes pengesanan avian influenza H5 yang disahkan.
Kerajaan memaklumkan bahawa tiada laporan kematian hidupan liar dalam jumlah besar, manakala influenza H5 juga belum dikesan dalam ternakan.
-- BERNAMA-XINHUA