KUALA PILAH,18 Ogos (Bernama) -- Bumbung makmal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Juasseh di sini runtuh pada kira-kira 12 tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Pegawai Kanan Bomba Mohd Idham Mohd Rodzi berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kejadian berlaku semasa tiada pelajar menggunakan makmal itu.
“Bagaimanapun beberapa bahan kimia dialihkan ke tempat lebih selamat kerana kita khuatir ia boleh mencetuskan kebakaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Mohd Idham berkata pihaknya telah mengarahkan kawasan itu dikosongkan dan tidak digunakan sehingga disahkan selamat.
Beliau berkata kes diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penilaian lanjut.
-- BERNAMA