Dunia 18/08/2026 06:18 PM

Mahkamah Pakistan Arah Bekas PM Imran Khan Dipindahkan Dari Penjara Ke Hospital

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mahkamah Pakistan Arah Bekas PM Imran Khan Dipindahkan Dari Penjara Ke Hospital
Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan -- REUTERS/Akhtar Soomro

Daripada Shakir Husain

HYDERABAD, 18 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Agung Pakistan pada Selasa memerintahkan bekas perdana menteri Imran Khan dipindahkan ke hospital dari penjara untuk rawatan selepas beliau mengadu tidak sihat. 

Imran yang disabitkan atas beberapa pertuduhan rasuah dan mendedahkan rahsia negara, telah berada di Penjara Adiala di Rawalpindi selama tiga tahun.

Beliau baru-baru ini mengadu berdebar-debar, sakit kepala, resah dan tertekan, menurut laporan.

Panel tiga hakim mengarahkan pihak berkuasa penjara supaya bekas perdana menteri berusia 73 tahun itu dipindahkan ke Hospital Antarabangsa Shifa di Islamabad, sebuah kemudahan perubatan swasta, lapor saluran televisyen ABN News.

Keluarganya tidak mahu beliau dirawat di hospital kerajaan.

Imran, yang kehilangan kuasa selepas kalah dalam undi tidak percaya parlimen pada April 2022, berdepan banyak kes mahkamah.

Mahkamah tersebut juga meminta butiran kes yang sedang berjalan dan sabitan terhadap Imran, menurut laporan di laman web Dunya TV.

-- BERNAMA