Am 18/08/2026 04:16 PM

AmBank Group Catat Untung Bersih Suku Pertama Lebih Tinggi Kepada RM520.23 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AmBank Group Catat Untung Bersih Suku Pertama Lebih Tinggi Kepada RM520.23 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mencatatkan keuntungan bersih RM520.23 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun, 2026 (suku pertama tahun kewangan 2027), meningkat 0.8 peratus berbanding RM516.18 juta dalam tempoh yang sama bagi tahun kewangan 2026.

Hasil turut meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.29 bilion sebelumnya, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

“Pendapatan bersih (yang lebih tinggi) ini disebabkan oleh pendapatan faedah bersih (NII) yang lebih kukuh meskipun pendapatan bukan faedah (NoII) yang lebih rendah,” menurutnya.

Kumpulan itu memaklumkan NII berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun kepada RM964.7 juta (suku pertama tahun kewangan 2026: RM924.7 juta), didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh, manakala NoII menyusut 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM362.8 juta (suku pertama tahun kewangan 2026: RM366.0 juta).

Ini berikutan keuntungan dagangan sekuriti yang lebih rendah daripada bahagian perbendaharaan dan pasaran kumpulan serta pendapatan perniagaan insurans yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan pengurusan kekayaan yang lebih tinggi.

“Perbelanjaan keseluruhan meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun kepada RM575.5 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh kos kakitangan, kos pengkomputeran dan pelunasan kos perisian yang lebih tinggi.

"Sementara itu, usaha mengoptimumkan kos meningkatkan nisbah kos kepada pendapatan kepada 43.4 peratus,” tambahnya.

Menurut kumpulan itu, pulangan ke atas ekuiti berada pada tahap 9.7 peratus, manakala pulangan ke atas aset ialah 0.99 peratus.

AmBank Group memaklumkan jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan meningkat 0.8 peratus dari awal tahun hingga kini dan 7.0 peratus tahun ke tahun kepada RM147.8 bilion.

“Pertumbuhan setakat tahun ini disumbangkan oleh perbankan perniagaan dan perbankan runcit, manakala perbankan borong kekal stabil secara keseluruhannya.

“Pertumbuhan tahun ke tahun adalah menyeluruh merangkumi perbankan borong, perbankan perniagaan dan perbankan runcit,” tambahnya.

Kumpulan itu menyatakan deposit pelanggan bagaimanapun susut 2.0 peratus dari awal tahun hingga kini kepada RM144.1 bilion.

Mengenai prospek, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Jamie Ling berkata konflik di Asia Barat masih belum selesai dan menjadi sumber ketidaktentuan yang berterusan di peringkat global.

Beliau berkata risiko penutupan penuh Selat Hormuz dalam tempoh terdekat mungkin berkurangan dengan adanya laluan antara negara-negara jiran di Teluk sebagai langkah meredakan ketegangan, manakala menghidupkan semula perjanjian damai AS-Iran merupakan langkah jangka panjang.

“Kami akan terus memberi tumpuan untuk melaksanakan pelan kami pada suku-suku akan datang,” katanya.

-- BERNAMA