Am 18/08/2026 05:10 PM

TERAJU Lulus Hampir RM190 Juta Pembiayaan Kepada Syarikat Bumiputera Di Pantai Timur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TERAJU Lulus Hampir RM190 Juta Pembiayaan Kepada Syarikat Bumiputera Di Pantai Timur
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi. Kredit: TERAJU

KUANTAN, 18 Ogos (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) meluluskan hampir RM190 juta pembiayaan kepada syarikat Bumiputera di Pahang, Kelantan dan Terengganu setakat awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan TERAJU memperluas akses kepada modal serta menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan.

Beliau berkata TERAJU komited dalam menyokong evolusi dan peningkatan tahap kematangan usahawan tempatan. 

“Matlamat kami adalah untuk memastikan syarikat Bumiputera berevolusi menjadi perusahaan yang boleh dilabur, bersedia mendapatkan pembiayaan dan mempunyai keupayaan melangkah ke tahap seterusnya, termasuk meneroka pasaran modal serta penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan TERAJU. 

TERAJU memaklumkan Junady berkata demikian ketika berucap pada program TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 di Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, di sini pada Ahad lepas yang menghimpunkan hampir 70 agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pemain industri.

Program bertemakan “Merealisasikan Penskalaan Penciptaan Nilai Syarikat Bumiputera” dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang Datuk Amizar Abu Adam.

 Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah dan Penolong Naib Canselor (Strategik Korporat) UMPSA Profesor Dr Che Ku Mohammad Faizal Che Ku Yahya.

Junady berkata inisiatif turun padang seperti program TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 dapat memastikan kemudahan pembiayaan, bimbingan dan rangkaian strategik terus tersedia kepada usahawan di kawasan operasi mereka.

 “Melalui program seperti ini, kami membawa ekosistem itu terus kepada usahawan supaya mereka dapat membuat keputusan dan merebut peluang pertumbuhan dengan lebih pantas serta berkesan.

“Ini cara kita memastikan nilai sebenar agenda Bumiputera sampai ke akar umbi dan memberi impak jangka panjang kepada perniagaan serta komuniti tempatan,” katanya. 

Selain itu, TERAJU memaklumkan program tersebut memberikan tumpuan kepada fasa penskalaan syarikat Bumiputera melalui pengukuhan asas perniagaan, peningkatan kapasiti, peluasan pasaran serta pembangunan keupayaan untuk berkembang secara lebih tersusun dan mampan.

“TERAJU Aspirasi Outreach Pahang 2026 turut menyediakan sesi padanan agensi bersama-sama rakan sinergi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang membolehkan usahawan mendapat sokongan lebih bersasar berdasarkan keperluan perniagaan mereka,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, TERAJU memaklumkan pendekatan kolaboratif itu juga selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan kerangka Ekonomi MADANI yang menyokong usaha memperkukuh keupayaan, daya saing dan penciptaan nilai syarikat Bumiputera.

“Melalui inisiatif turun padang dan intervensi lebih bersasar, TERAJU terus memperkukuh asas bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputera berkembang, memperluas pasaran dan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam rantaian nilai ekonomi Pahang serta Pantai Timur,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA