Am 18/08/2026 01:11 PM

Kontraktor Digalak Teroka Sektor Pengurusan Fasiliti, Penyelenggaraan - Ahmad Maslan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kontraktor Digalak Teroka Sektor Pengurusan Fasiliti, Penyelenggaraan - Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga, kanan) melawat reruai pada Majlis Perasmian Konvensyen Kontraktor 2026: NexGen Builders - Pembina Generasi Baharu di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) mahu lebih ramai kontraktor meneroka bidang pengurusan fasiliti (FM) dan penyelenggaraan yang mempunyai potensi besar, dengan projek bernilai RM39.59 bilion dalam bidang terbabit direkodkan dari 2023 hingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata berdasarkan rekod pengisytiharan projek Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebanyak 1,541 projek FM dan penyelenggaraan direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata bagaimanapun, pada masa ini hanya 468 kontraktor FM berdaftar di bawah pengkhususan F01 (Fasiliti Bangunan dan Infrastruktur Am) dan F02 (Fasiliti Bangunan Penjagaan Kesihatan), sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang luas untuk kontraktor menceburi subsektor berkenaan.

“Ini peluang yang perlu direbut oleh kontraktor. Kita bukan hanya perlu terlibat dalam pembinaan tetapi juga penyenggaraan kerana ia merupakan peluang perniagaan yang kadang-kadang dilupakan.

“Projeknya bernilai berbilion ringgit tetapi kontraktor yang berdaftar dalam bidang ini masih belum ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor 2026: NexGen Builders - Pembina Generasi Baharu di sini hari ini.

Ahmad berkata penekanan terhadap pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan semakin penting berikutan keperluan memastikan bangunan, jalan raya, jambatan serta aset awam lain dapat digunakan secara optimum sepanjang jangka hayatnya.

“Dahulu kita banyak menumpukan kepada pembinaan. Apabila sesuatu dibina, kita kurang memberikan perhatian kepada penyelenggaraan sedangkan jalan, bangunan dan jambatan semuanya memerlukan penyelenggaraan supaya jangka hayat aset itu lebih optimum," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad turut melancarkan CIS 33:2026 – Facility Management Good Practice Guide, iaitu panduan amalan terbaik yang dibangunkan CIDB bagi menyediakan kerangka pengurusan fasiliti yang lebih sistematik, mampan dan seragam untuk industri pembinaan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Ahmad berkata CIS 33:2026 diharap menjadi rujukan bersama-sama pemilik aset, pengurus fasiliti, kontraktor serta pemain industri bagi meningkatkan amalan pengurusan fasiliti dan memastikan aset terus memberikan nilai serta manfaat optimum kepada rakyat.

Beliau berkata pengurusan fasiliti kini bukan lagi sekadar aktiviti sokongan selepas sesuatu projek siap, sebaliknya merupakan subsektor yang boleh diterokai kontraktor untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan mewujudkan sumber pendapatan baharu.

Mengenai peruntukan penyelenggaraan jalan, Ahmad berkata KKR memerlukan kira-kira RM4 bilion namun menerima kira-kira RM2 bilion ketika ini.

Beliau berkata kementerian itu akan mengemukakan permohonan tambahan dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan hari ini, dengan harapan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan dapat ditingkatkan.

-- BERNAMA