KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kisah warisan masyarakat Cina Malaysia, daripada penghijrahan dan penempatan awal hinggalah evolusi tradisi di bumi Malaysia, bakal menjadi tumpuan menerusi persembahan ‘A Dance Spectacular’ di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada 5 Sept ini.
Persembahan hampir dua jam yang dijadualkan berlangsung pada 8 malam itu menampilkan kerjasama antara ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre dengan mengangkat tema warisan, identiti dan daya tahan menerusi interpretasi kontemporari tarian tradisional Cina, muzik secara langsung serta elemen visual.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha DFP dalam memperkasakan kepelbagaian budaya, selain menyediakan ruang kepada kumpulan seni persembahan tempatan untuk menafsir semula warisan tradisional dalam konteks yang lebih kontemporari.
Membuka tirai persembahan, ASK Dance Company akan mengetengahkan ‘Pearl of the Orient’, sebuah karya yang mengangkat perjalanan tradisi masyarakat Cina ke Tanah Melayu sebelum berkembang menjadi satu bentuk ekspresi yang tersendiri dalam kalangan masyarakat Cina Malaysia.
Pengasas ASK Dance Company, Prof. Dr. Joseph Gonzales, berkata karya itu menggunakan bahasa tari bagi menggambarkan perjalanan penghijrahan, proses asimilasi serta sumbangan masyarakat pendatang awal dalam membentuk kepelbagaian identiti negara.
“Ini bukan naratif yang akan dipaparkan secara terus, tetapi penonton akan memahami bahawa perjalanan itu bermula di China, sebelum masyarakat Cina datang ke Malaysia dan di sini mereka membangunkan tradisi, budaya serta adat resam tersendiri yang unik sebagai masyarakat Cina Malaysia,” katanya kepada pemberita di DFP di sini.
Beliau berkata persembahan itu turut menyelitkan beberapa detik penting dalam sejarah Malaysia, termasuk era perlombongan bijih timah, selain mengetengahkan ikon budaya yang dekat dengan masyarakat seperti permainan mahjong dan sambutan perayaan, dengan iringan muzik secara langsung menggunakan alat perkusi tangan.
“Perasaan yang ingin disampaikan ialah satu bentuk perayaan terhadap identiti Cina kita di Malaysia, serta hakikat bahawa masyarakat Cina merupakan sebahagian daripada identiti dan naratif nasional. Saya fikir perkara itu amat penting,” katanya.
Menampilkan kira-kira 17 penari, segmen ASK Dance Company turut menjanjikan beberapa karya yang mencuri perhatian, antaranya ‘Spirit of the Fire Horse, Dai Dance’, ‘Sword Dance’, ‘Tin Mining Dance’, ‘Mahjong Dance’ serta kemuncak penuh warna menerusi ‘Lion and Chopstick Dance’.
Selepas rehat, pentas DFP akan diteruskan dengan persembahan ‘Passage Into The Unknown: Earth, Water, Fire, Wind’ oleh Dua Space Dance Theatre yang menampilkan 10 penari bagi meneroka ketahanan manusia dan falsafah nenek moyang melalui empat unsur alam, iaitu tanah, air, api dan angin.
Pengasas merangkap koreografer Dua Space Dance Theatre, Anthony Meh Kim Chuan, menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai peluang penting untuk menghimpunkan syarikat tari profesional tempatan di bawah satu pentas berprestij.
“Semua orang tahu bahawa mengendalikan sebuah syarikat tari sepenuh masa bukan sesuatu yang mudah di Malaysia. Jadi, kami amat berterima kasih kepada penganjur kerana memberikan peluang yang begitu hebat untuk kami membuat persembahan di sini,” katanya.
Menggabungkan estetika tarian tradisional Cina dengan gerak tari kontemporari yang ekspresif, persembahan Dua Space turut mengetengahkan koreografi penuh emosi bersama penyanyi dan pemuzik secara langsung bagi menyampaikan refleksi puitis mengenai keberanian dan keharmonian.
Bagi memastikan pengalaman kebudayaan itu dapat dinikmati lebih ramai, DFP menawarkan diskaun 20 peratus menerusi pakej keluarga dengan pembelian enam tiket bagi kategori Premium dan A Reserve.
Tiket berharga antara RM69 hingga RM249 dan boleh dibeli menerusi talian 03-23317007, e-mel boxoffice@dfp.com.my atau secara dalam talian di laman web DFP di dfp.com.my.
-- BERNAMA