KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebuah syarikat membekal alat ganti kenderaan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas lima pertuduhan menggunakan cap dagangan tanpa kelulusan terhadap 3,075 unit minyak pelincir dan penapis minyak kereta pelbagai jenama.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Well Perfect Auto Parts Sdn Bhd diwakili pengarahnya, Khoo Zhi Sheng, 42, dan seorang lagi pengarah, Yap Kok Lim, 43, yang juga orang kena saman (OKS) selepas mereka mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.
Syarikat Well Perfect itu didakwa mempunyai 3,075 unit minyak pelincir dua jenama kereta terkenal dan 4,398 unit penapis minyak tiga jenama kereta tempatan dan mewah yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 518).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat terbabit di Taman Perindustrian Kepong di sini pada 2.30 pagi, 30 April 2025, mengikut Seksyen 102 (1)(c) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(c)(i) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM15,000 bagi setiap barang yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barangan itu.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Hazmida Harris Lee dan Pegawai Pendakwa KPDN Azmil Aspara manakala peguam Wayne Ng Wei Wei mewakili syarikat itu.
-- BERNAMA