Am 17/08/2026 09:18 PM

Keuntungan Bersih Suku Kedua Malakoff Susut Kepada RM31.71 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Keuntungan Bersih Suku Kedua Malakoff Susut Kepada RM31.71 Juta

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd susut kepada RM31.71 juta dalam suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM62.83 juta yang dicatatkan semasa tempoh yang sama tahun sebelum ini.

Hasil berkurangan sebanyak 5.4 peratus kepada RM1.91 bilion daripada RM2.01 bilion disebabkan pembayaran kapasiti yang lebih rendah daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) berikutan kegagalan rotor penjana turbin stim pada unit 30 dan kebocoran penyejuk hidrogen penjana pada unit 20.

Keuntungan yang lebih rendah itu disebabkan oleh penurunan dalam sumbangan daripada TBP, yang terjejas oleh kegagalan rotor penjana turbin stim pada unit 30 dan kebocoran penyejuk hidrogen penjana pada unit 20 tetapi sebahagiannya telah diimbangi oleh tuntutan insurans termasuk sumbangan yang lebih tinggi daripada pelaburan dalam syarikat bersekutu. 

“Bagaimanapun, ini sebahagiannya telah diimbangi oleh tambahan dalam pembayaran tenaga daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd dan Prai Power Sdn Bhd sejajar dengan peningkatan dalam faktor penghantaran,” katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Sementara itu, perniagaan penyelesaian alam sekitar Malakoff, Alam Flora Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Alam Flora Environmental Solution Sdn Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai serta kepentingan minoriti sebanyak RM18.3 juta bagi suku kedua 2026, penurunan sebanyak RM8.4 juta, berikutan ketiadaan pendapatan sekali sahaja yang diiktiraf pada suku kedua 2025.

Untuk enam bulan itu, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM51.82 juta daripada RM96.82 juta, manakala pendapatan berjumlah RM3.28 bilion berbanding RM4.05 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Syahrunizam Samsudin berkata usaha pemulihan di Kompleks Tanjung Bin telah selesai, dan dengan semua unit kini beroperasi hampir dengan kapasiti penuh, kumpulan itu menjangkakan prestasi yang lebih mantap daripada lojinya pada bulan-bulan akan datang.

“Namun begitu, prestasi operasi kukuh loji pembakaran gas kami di Lumut dan Prai menunjukkan daya tahan portfolio penjanaan pelbagai Malakoff, mencerminkan keupayaan kami untuk mengekalkan kestabilan operasi dan kewangan walaupun aset individu menghadapi tekanan sementara,” katanya.

Melangkah ke hadapan, dengan prestasi Kompleks Tanjung Bin dipulihkan, kapasiti jangka panjang dijamin melalui lanjutan perjanjian pembelian kuasa Lumut selain aliran pendapatan baharu yang terbentuk dalam penyelesaian boleh baharu serta alam sekitar, kumpulan itu sedang memasuki separuh kedua tahun dengan momentum yang amat jelas. 

 

-- BERNAMA