KOTA BHARU, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 23 pelajar berusia tujuh hingga 19 tahun bakal menjalani pembedahan strabismus atau membetulkan mata juling di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dalam tempoh lima hari bemula hari ini hingga 20 Ogos.
Pengarah HPUSM Datuk Dr Ab Rahman Izani Ghani @ Ab Ghani berkata pembedahan yang dilaksanakan bersempena Karnival Pembedahan Strabismus Kali Kedua itu, sekali gus membantu memendekkan tempoh menunggu rawatan yang sebelum ini mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun.
Beliau berkata kesemua pelajar berkenaan dikenal pasti menerusi Program Intervensi Mata Rabun dan Strabismus yang dilaksanakan HPUSM di sekolah seluruh Kelantan sejak tiga tahun lepas.
“Menerusi saringan tersebut HPUSM berjaya mengesan kira-kira 300 pelajar yang mengalami masalah mata termasuk strabismus dan 23 daripadanya akan menjalani pembedahan dalam tempoh lima hari karnival ini berlangsung.
“Pencapaian ini amat membanggakan kerana ia membantu mengurangkan tempoh pesakit menunggu sehingga beberapa bulan sebelum ini malah ada yang bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pembedahan Strabismus Kali Kedua di HPUSM di sini hari ini.
Dr Ab Rahman Izani berkata karnival itu menghimpunkan pakar perunding oftalmologi dengan subkepakaran pembedahan strabismus, pakar perubatan oftalmologi serta pelajar pascasiswazah oftalmologi bagi menyediakan penilaian dan rawatan pembedahan.
Beliau berkata kos pembedahan dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Pakar Perunding Mata Kanak-kanak Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Prof Dr Shatriah Ismail berkata strabismus bukan sekadar isu kosmetik kerana ia boleh memberi kesan kepada fungsi penglihatan, koordinasi mata dan perkembangan psikologi, khususnya kanak-kanak.
Beliau berkata keadaan itu juga boleh menjejaskan keyakinan diri dan keupayaan pesakit menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian.
-- BERNAMA