KUANTAN, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus memperkukuh transformasi pendidikan awal Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melalui gabungan pembentukan nilai agama dan penguasaan teknologi, selaras dengan keperluan generasi masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan ekosistem pendidikan negara, termasuk penurunan umur permulaan persekolahan daripada tujuh kepada enam tahun, menjadikan pendidikan awal melalui taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) semakin penting.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mahu pendidikan KEMAS bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, termasuk melalui peluasan pelaksanaan Smart Class dan penggunaan smartboard di tabika KEMAS.
“Selepas enam dekad berkhidmat kepada masyarakat, KEMAS perlu memasuki fasa baharu dan terus berevolusi mengikut perubahan zaman tanpa meninggalkan asas pembentukan insan,” katanya menerusi kenyataan media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Warga KEMAS Pahang di Bera hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahmad Zahid berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu terus diperkukuh bagi membantu menyediakan kemudahan teknologi.
Dalam memperkasa pendidikan berteraskan agama pula, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya program hafazan di tabika KEMAS diperluaskan mulai tahun hadapan.
“Selain hafazan surah dalam Juzuk 30, kanak-kanak KEMAS akan turut dibimbing menghafaz antaranya Surah Yasin, Al-Waqiah, Al-Mulk dan As-Sajdah,” katanya.
Beliau juga mahu guru KEMAS terlebih dahulu menguasai hafazan berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara tersusun dan berkesan.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Pahang atas sokongan berterusan terhadap pembangunan KEMAS, termasuk inisiatif berkaitan hak milik dan geran tanah bagi premis tabika dan taska serta peruntukan bagi kerja renovasi dan penambahbaikan premis.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan kestabilan politik, kerjasama antara semua peringkat kerajaan serta keberanian melakukan pembaharuan merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan pendidikan awal dapat diteruskan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Selepas 60 tahun membina masyarakat daripada akar umbi, beliau berkata KEMAS bukan sahaja perlu mempertahankan legasinya, tetapi bersedia membentuk generasi baharu yang kukuh nilai dan jati diri, celik teknologi serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.
Tabika dan taska KEMAS telah mendidik kira-kira 8.4 juta kanak-kanak sepanjang penubuhannya, sekali gus mencerminkan sumbangan besar organisasi itu dalam pembangunan pendidikan awal di seluruh negara.
-- BERNAMA