Am 15/08/2026 11:39 AM

TH Perlu Perkukuh Akauntabiliti, Pulih Keyakinan Pendeposit - Pakar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TH Perlu Perkukuh Akauntabiliti, Pulih Keyakinan Pendeposit - Pakar

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) perlu beralih daripada akauntabiliti individu kepada akauntabiliti berinstitusi bagi memastikan keputusan besar berkaitan institusi itu tidak lagi bergantung pada pengaruh, kebijaksanaan atau kehendak individu tertentu. 

Pakar kewangan Islam Prof Madya Dr Rozita@Uji Mohammed berkata inti pati persoalan yang dibangkitkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menuntut TH untuk memperincikan semula "jejak kuasa" dalam setiap keputusan pelaburan bagi menjamin integriti dana pendeposit.

Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah itu berkata setiap keputusan besar yang mempunyai impak material terhadap dana perlu disandarkan kepada Investment Decision Accountability Matrix yang menetapkan had kuasa pada setiap peringkat pembuat keputusan. 

“Setiap keputusan besar perlu mempunyai jejak kuasa dan tanggungjawab, iaitu siapa mencadang, siapa menilai, siapa melulus, siapa memantau dan siapa yang bertanggungjawab," katanya kepada Bernama.

Rozita berkata TH tidak boleh sekadar berperanan sebagai rubber stamp kepada pengurusan, sebaliknya perlu berkemampuan menunjukkan maklumat yang diterima, alternatif yang dipertimbangkan, risiko yang dibincangkan, konflik kepentingan yang dikenal pasti serta alasan sesuatu keputusan dibuat.

Rozita berkata akauntabiliti tersebut perlu bermula seawal proses pelantikan menerusi penilaian fit and proper atau kriteria yang telus merangkumi aspek kompetensi, integriti, kebebasan, literasi kewangan, kesedaran syariah dan rekod prestasi, selain mekanisme yang jelas untuk menilai semula atau menamatkan pelantikan jika kriteria itu tidak lagi dipenuhi.

“Selain itu, pengurusan konflik kepentingan secara tegas termasuk pengisytiharan kepentingan, kewajipan menarik diri daripada proses membuat keputusan dan merekodkan tindakan itu dalam minit mesyuarat juga penting kerana konflik kepentingan yang tidak didedahkan antara punca kegagalan tadbir urus.

“TH juga memerlukan fungsi independent challenge yang membolehkan cadangan pelaburan besar dicabar secara bebas termasuk apabila cadangan itu datang daripada pihak berautoriti tinggi. Dalam masa sama, akauntabiliti mesti merangkumi berita yang kurang baik, melalui ujian tekanan, analisis senario, had risiko, petunjuk amaran awal dan pencetus tindakan keluar,” katanya.

Rozita berkata bagi memastikan setiap keputusan dapat diaudit dan dikesan semula, TH wajar mempunyai Fail Akauntabiliti Pelaburan yang merekodkan cadangan pelaburan, usaha wajar, penilaian syariah dan risiko, penilaian bebas, pengisytiharan konflik kepentingan, keputusan jawatankuasa pelaburan dan lembaga serta pemantauan prestasi dan keputusan keluar atau pemulihan.

Beliau berkata akauntabiliti itu perlu dilaksanakan pada tiga peringkat, iaitu ex-ante (sebelum keputusan dibuat), concurrent (ketika pelaburan berlangsung) dan ex-post (selepas keputusan dinilai) agar tindakan pencegahan dan pembetulan dapat dilaksanakan sebelum kerugian menjadi lebih besar.

Mengulas lanjut, Rozita memberikan amaran bahawa kegagalan menangani kelemahan tadbir urus secara menyeluruh akan mendedahkan TH kepada risiko kehilangan kepercayaan daripada lebih 9 juta pendepositnya.

“Jika pendeposit merasakan wang mereka diurus berdasarkan kepentingan politik atau kepentingan tertentu dan bukan semata-mata kepentingan mereka (persediaan menunaikan haji), kerosakan yang berlaku bukan sahaja kepada reputasi TH, tetapi juga legitimasi institusi. Reputasi yang hilang dalam institusi berasaskan amanah amat sukar dipulihkan," katanya.

Sehubungan dengan itu, Rozita berkata objektif TH perlu dilihat dalam kerangka Maqasid al-Syariah, dan kejayaannya tidak wajar diukur berdasarkan pulangan ekuiti atau hibah semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira impak pembangunan berteraskan maqasid syariah yang menilai sejauh mana institusi memelihara harta umat dan memudahkan pelaksanaan ibadah haji.

Beliau berkata sekurang-kurangnya terdapat empat maqasid yang berkaitan secara langsung dengan kewujudan TH, iaitu Hifz al-Din (memelihara agama), Hifz al-Mal (memelihara harta), Hifz al-Nafs (memelihara nyawa) serta Hifz al-'Aql (memelihara akal), termasuk menerusi pendidikan kewangan, literasi haji dan keputusan kewangan yang bertanggungjawab.

Rozita berkata kelemahan tadbir urus boleh berkembang menjadi risiko fidusiari dan masalah agensi, tadbir urus pelaburan, kecairan, risiko syariah serta bahaya moral dan budaya organisasi yang lemah sekiranya tiada penambahbaikan dan akauntabiliti yang jelas.

“Saluran pemberi maklumat yang bebas, perlindungan daripada tindakan balas, akses terus kepada jawatankuasa audit serta mekanisme siasatan perlu diperkukuh, manakala akauntabiliti TH juga perlu diperluas kepada pendeposit sebagai pihak yang menyerahkan dana kepada institusi berkenaan.

"TH bukan hanya bertanggungjawab kepada menteri, kerajaan, lembaga, auditor atau pengawal selia, tetapi juga kepada pendeposit. Dalam konteks kewangan Islam, rangkuman akauntabiliti lebih inklusif, meliputi akauntabiliti manusia, institusi, pendeposit dan kepada Allah SWT,” katanya.

-- BERNAMA