Am 15/08/2026 12:37 PM

Pemansuhan AUKU 1971 Tanda Besar Terhadap Komitmen Reformasi - Adam Adli

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemansuhan AUKU 1971 Tanda Besar Terhadap Komitmen Reformasi - Adam Adli
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersalaman dengan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 merupakan tanda besar komitmen kerajaan, terhadap agenda reformasi serta hadiah kepada gerakan mahasiswa yang memperjuangkan perkara itu sejak sekian lama, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata keputusan itu, turut menjadi pengiktirafan terhadap kelompok mahasiswa yang selama ini berani menyuarakan tuntutan untuk memansuhkan akta itu.

“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit. Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama-sama.

“Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara. Terima kasih Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 hari ini, mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.

Beliau berkata walaupun beberapa pindaan AUKU sebelum ini telah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergiat aktif, kebebasan itu perlu diperluas selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.

-- BERNAMA