MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Pemimpin yang dilantik perlu membina jaringan kukuh dengan masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan hubungan dengan rakyat sentiasa terpelihara, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata hubungan rapat dengan masyarakat juga penting bagi membolehkan pemimpin dan parti menyampaikan naratif tepat sekali gus menangkis tanggapan buruk yang mungkin ditimbulkan pihak lawan.
“Kehadiran kita penting, naratif kita penting, jentera kita penting, komunikasi kita penting... hubungan kemasyarakatan dan jaringan kita di peringkat akar umbi juga penting,” katanya ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Ketua AMK sempena Kongres Nasional AMK 2026 di sini hari ini.
Muhammad Kamil berkata persediaan menghadapi pilihan raya tidak seharusnya hanya tertumpu kepada naratif di peringkat nasional sebaliknya turut mengambil kira isu dan keperluan masyarakat di peringkat tempatan.
Dalam pada itu, beliau menggesa pimpinan di peringkat tempatan untuk memperbanyak program dan pengisian bersama dengan ahli di peringkat akar umbi khususnya ahli baharu bagi menyemai kefahaman terhadap idealisme serta perjuangan parti.
Muhammad Kamil juga berkata usaha berkenaan penting bagi memastikan ahli memahami tugas dan tanggungjawab mereka serta sebab memilih wadah perjuangan parti.
“Tidak ada usaha untuk menggilap idealisme, memahamkan anggota-anggota baharu kita ini tentang tugas dan tanggungjawab serta sebab kenapa kita berada dan memilih wadah perjuangan ini.
“Ini yang kita takut akhirnya perlahan-lahan kita akan terpesong dari landasan perjuangan ini,” katanya.
-- BERNAMA