GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan lebih RM350 bilion dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E) pada separuh pertama 2026 (S1 2026), iaitu peningkatan lebih 80 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata prestasi eksport yang lebih kukuh mencerminkan peningkatan permintaan global pada produk semikonduktor dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab E&E Malaysia.
“Eksport elektrik dan elektronik Pulau Pinang secara konsisten menyumbang lebih 60 peratus kepada jumlah eksport E&E negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Bakat Semikonduktor Belanda-Asia Tenggara di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Duta Besar Belanda ke Malaysia Pieter Blusee dan Naib Canselor USM Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed
Chow berkata Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, menyumbang lebih lima peratus kepada jualan semikonduktor global.
Beliau berkata ekosistem semikonduktor negeri ini yang kukuh telah menempatkannya dalam kedudukan yang strategik bagi menerima manfaat pertumbuhan yang berterusan dalam industri semikonduktor global, yang dijangka mencecahkan jualan tahunan sebanyak US$1 trilion (US$1=RM4.08) tahun ini.
Bagaimanapun, Chow berkata pertumbuhan sektor E&E dan semikonduktor Pulau Pinang mesti disokong oleh perancangan bakat yang kukuh untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.
Jelasnya, ketika ini, Malaysia mengalami kekurangan jurutera mahir, dengan anggaran industri menunjukkan bahawa kira-kira 50,000 jurutera mahir diperlukan untuk memenuhi permintaan semasa, manakala universiti pula hanya mengeluarkan sekitar 5,000 graduan kejuruteraan setiap tahun.
“Di peringkat global, industri kita perlu menambah sejuta pekerja mahir menjelang 2030, termasuk lebih 200,000 jurutera di Asia Pasifik sahaja,” katanya.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti Program Bakat Semikonduktor Belanda-Asia Tenggara adalah penting untuk memberi pendedahan kepada bakat muda kepada rantaian nilai semikonduktor dan menggalakkan mereka untuk meneruskan kerjaya dalam industri ini.
“Saya telah dimaklumkan bahawa program ini menghimpunkan bakat dan pakar muda terpilih dari Asia Tenggara serta Belanda untuk meneroka sepenuhnya rantaian nilai semikonduktor, daripada reka bentuk cip kepada inovasi dan kerjasama,” tambahnya.
Dalam pada itu, program 10 hari tersebut disertai 60 pelajar dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand bagi pembelajaran merentas budaya, sesi akademik dan penglibatan dengan pemain industri.
-- BERNAMA