Politik 14/08/2026 03:50 PM

BN Pahang Berpendirian Kekalkan Kerjasama Kerajaan Perpaduan Sehingga PRU16 - Wan Rosdy

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
BN Pahang Berpendirian Kekalkan Kerjasama Kerajaan Perpaduan Sehingga PRU16 - Wan Rosdy
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini.

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Pahang berpendirian untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, kata Pengerusinya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata pihaknya terus komited untuk menjalankan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri ini. 

“Kita (akan) bincang ... saya harap kita (Kerajaan Perpaduan) akan dapat kekal sehingga PRU16,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Kluster Sumbangan Melanjutkan Pengajian ke Luar Negara 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. 

Pada PRU15, menyaksikan BN dan Perikatan Nasional masing-masing memperoleh 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata BN Pahang terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU16 kelak. 

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata pihaknya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM118,000 kepada 118 pelajar Institusi Pengajian Tinggi sebagai persiapan mereka untuk melanjutkan pengajian di Mesir dan New Zealand pada bulan ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri Pahang juga menyalurkan USD1,000 menerusi Yayasan Pahang kepada pelajar yang akan meneruskan pengajian di Jordan dan Maghribi. 

Beliau berkata Inisiatif Makmur Pahang itu tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya akan terus diperluas dan ditambah baik dari semasa ke semasa. 

“Kita juga melihat kepada syllabus (sukatan pelajaran) dan kursus yang ditawarkan. Antara perkara yang diambil kira ialah kursus yang mempunyai elemen Islamik serta bidang pengajian yang bersesuaian,” katanya. 

-- BERNAMA