Dunia 14/08/2026 08:51 PM

Marcos Mahu "Reset" Hubungan Filipina-China Untuk Redakan Ketegangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Marcos Mahu

MANILA, 14 Ogos (Bernama-PNA) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. pada Jumaat berkata rancangannya untuk menetapkan semula (reset) hubungan Filipina dengan China bertujuan meredakan ketegangan dan mengelakkan salah faham yang boleh memuncak menjadi konflik, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Bercakap pada majlis makan tengah hari presiden yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Asing Filipina, Marcos berkata penetapan semula itu bermakna kembali kepada dialog apabila ketegangan antara Manila dan Beijing mula meningkat.

"Ia adalah penetapan semula dalam erti kata bahawa jika kita mula mengesan atau merasakan lonjakan dalam ketegangan atau peningkatan ketegangan, maka kita perlu sekali lagi kembali dan berunding dengan rakan-rakan kita di China dan berkata, 'Lihat, ini tidak menuju ke arah yang betul,'" kata Marcos.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk meredakan ketegangan dan mengelakkan situasi di mana kapal Filipina atau China serta anak kapal mereka boleh melakukan kesilapan atau salah faham antara satu sama lain.

Marcos berkata usaha untuk menguruskan ketegangan telah dijalankan, dengan setiap kejadian di Laut Filipina Barat (Laut China Selatan) memberikan peluang untuk mengenal pasti apa yang salah dan mencegah kejadian serupa.

"Kami cuba untuk membawa (turun) tahap ketegangan; kami cuba untuk melembutkan bahasa. Jadi, itulah reset,” kata Marcos.

Mengenai kemungkinan penerokaan minyak dan gas bersama China, Marcos berkata perbincangan telah berkembang apabila kedua-dua pihak mengusahakan terma rujukan.

"Saya dapat lihat kemungkinan baharu ini bahawa akan ada penerokaan bersama seperti itu. Seperti mana-mana usaha sama, G2G (kerajaan-ke-kerajaan) atau, jika ia semata-mata komersial, anda perlu menentukan antara anda dan antara pihak terbabit dari segi rujukan," kata Marcos.

Ditanya sama ada penerokaan minyak dan gas bersama China boleh dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatannya, Marcos menjawab, "Sudah tentu."

Marcos berkata Filipina memerlukan bekalan minyak dan gas tambahan dan perlu meneroka kemungkinan di Laut Filipina Barat dan kawasan lain yang "boleh dimanfaatkan oleh negara itu."

Beliau berkata, bagaimanapun, masa bagi mana-mana penerokaan bersama akan bergantung pada perkembangan perbincangan. Tambah Marcos, semua pihak yang terlibat kelihatan berminat untuk menjayakan kerjasama yang dicadangkan itu.

-- BERNAMA-PNA