Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Hamparan padi yang berkilauan diterangi cahaya LED memenuhi ruang sebuah rumah tradisional Kedah di Malaysia Heritage Studios, Ayer Keroh di sini, mencipta suasana seakan-akan pengunjung berada di tengah-tengah sawah Negeri Jelapang Padi.
Dilengkapi bunyi burung berkicau yang menjadi sebahagian daripada instalasi berkenaan, suasana tersebut bukan sahaja menjadi tarikan untuk pengunjung bergambar, malah memberi pengalaman visual yang berbeza dalam mengenali kehidupan masyarakat terdahulu.
Pendekatan menggabungkan elemen tradisional dengan teknologi itu antara usaha Malaysia Heritage Studios, yang dahulunya dikenali sebagai Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, dalam menjadikan pengalaman warisan lebih dekat dengan generasi masa kini.
Ketua Pembangunan Perniagaan Wilayah Selatan Malaysia Heritage Studios Ainatul Mardhiah Roslan berkata pendekatan berkenaan memberi peluang kepada pengunjung mengenali budaya menerusi pengalaman yang lebih visual, interaktif dan menyeronokkan, khususnya golongan muda.
“Generasi sekarang lebih suka bergambar, jadi kami cuba jadikan dekorasi lebih immersive dan menarik untuk mereka ambil gambar. Selain itu, kami juga sediakan aktiviti hands-on kerana mereka lebih berminat untuk mencuba sesuatu secara fizikal dan bukan sekadar mendengar atau membaca.
“Dalam usaha menjadikan pengalaman warisan lebih dekat dengan pengunjung, taman tema di sini turut menggabungkan teknologi seperti pencahayaan, elemen imersif, animatronics dan kandungan video dalam beberapa ruang pameran,” katanya ketika ditemui Bernama semasa program Melaka Surreal Durian Experience 2026 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan, baru-baru ini.
Menurut beliau, Malaysia Heritage Studios menampilkan 13 rumah tradisional dari seluruh negara, dengan setiap rumah mempunyai identiti tersendiri berdasarkan warisan negeri masing-masing, termasuk dari segi struktur, susun atur ruang serta gambaran kehidupan masyarakat terdahulu.
Katanya, seni bina rumah tradisional juga boleh menjadi medium untuk memahami nilai, kepercayaan dan cara hidup masyarakat pada suatu ketika dahulu.
“Contohnya rumah Kelantan, masyarakat dahulu sangat menitikberatkan aspek Islamik dalam kehidupan. Sebab itu ruang tamu dan dapur diasingkan, malah anak perempuan yang ingin ke dapur perlu turun dan melalui laluan lain supaya tidak melalui ruang tamu.
“Jadi, daripada struktur rumah pun kita boleh belajar bagaimana masyarakat dahulu menjalani kehidupan dan mengamalkan nilai tertentu,” katanya.
Selain meneroka seni bina, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang diadakan setiap hari pada 12.30 tengah hari dan 3.30 petang.
Pengalaman mengenali warisan itu juga tidak terhad pada seni bina apabila pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti tradisional seperti batu seremban, congkak dan permainan "capteh", selain aktiviti menghasilkan batik pada waktu tertentu.
Ainatul Mardhiah berkata bahan serta maklumat berkaitan warisan yang diketengahkan turut berpandukan kajian dan dokumentasi yang dilakukan sejak 1986 oleh Perbadanan Muzium Melaka, selain sumber daripada pelbagai muzium lain.
Bagi menghidupkan kisah yang sinonim dengan masyarakat terdahulu, pihaknya turut mengetengahkan cerita makhluk legenda dalam hikayat tempatan seperti Naga Tasik Chini, Sang Kelembai dan beberapa watak mitos lain.
“Kisah-kisah berkenaan bukan sekadar menarik perhatian pengunjung, malah menjadi ruang untuk mereka mengenali cerita rakyat dan kepercayaan yang diwarisi daripada generasi terdahulu bukan hanya dalam negara tetapi juga luar.
“Antaranya Gajah Mina iaitu sebuah mitos Hindu. Dipercayai ia merupakan makhluk yang cukup ajaib, ada yang mengatakan haiwan ini mempunyai badan seperti ikan paus, bergading seperti gajah, badan dipenuhi bulu, mempunyai sepasang taring dan tangan lebar,” katanya.
Beliau berkata selain pengunjung tempatan, Malaysia Heritage Studios turut menerima pelancong antarabangsa seperti Singapura, Taiwan dan China.
Bagi pengunjung yang ingin merasai pengalaman di Malaysia Heritage Studios, taman tema itu dibuka setiap hari dengan tiket termasuk cukai hiburan berharga RM50.60 untuk dewasa dan RM39.40 bagi kanak-kanak serta warga emas, manakala kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah masuk secara percuma.
-- BERNAMA