DUNGUN, 14 Ogos (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal rentung apabila kenderaan yang ditungganginya terbakar selepas merempuh sebuah lori di Kilometer 357, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan dekat Bukit Besi, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Dungun Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata kejadian berlaku pada 6.53 pagi, dan identiti mangsa belum dikenal pasti.
"Siasatan awal mendapati lori terbabit terbabas ke bahu jalan dan tiba-tiba datang motosikal jenis Zontes dari arah belakang lalu melanggar lori berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu lori Mohd Syaiful Rahim, 37, dari Pekan, Pahang tidak mengalami kecederaan.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA